Rakyat Selangor bakal terima manfaat Jualan Rahmah, Ehsan

Rakyat Selangor bakal menerima manfaat menerusi Jualan Rahmah yang akan diperluaskan di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan menyahut Jualan Rahmah di negeri itu yang konsepnya serupa dengan Jualan Ehsan.

Menurutnya, kerajaan negeri bercadang untuk menyelaraskan jadual program Jualan Rahmah dan Jualan Ehsan supaya dilaksanakan serentak.

“Kita akan cuba selaraskan jadual. Kalau program tidak boleh diadakan serentak, mungkin kita akan asingkan program ini.

“Tapi jika kita buat asing, kita harap lebih banyak tempat diterima dan dapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Selangor bersama Penerima Biasiswa Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Negeri Selangor (TPASBB), di Kelab Golf Seri Selangor Petaling Jaya hari ini.

Kempen Jualan Rahmah digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menawarkan barang keperluan pada harga lebih murah.

KPDN boleh memberi permit jualan murah bagi mana-mana pasar raya untuk melaksanakan Jualan Rahmah sehingga empat bulan dengan sasaran tawaran harga barangan keperluan antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.

Sementara itu, ketika ditanya tentang pelaksanaan Menu Rahmah, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan memperkenal program itu.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada pengusaha kedai makan yang mahu secara sukarela terlibat dalam inisiatif tersebut.

“(Untuk Menu Rahmah), ia adalah sukarela dari restoran-restoran. Kalau mereka terlibat, mungkin dapat keuntungan kecil tapi saya rasa mereka akan dapat manfaat dan promosi terhadap perubahan harga makanan yang mereka tawarkan.

“Buat masa ini, kerajaan negeri belum ada anak syarikat yang secara terus menjadi pengeluar makanan dan menjalankan aktiviti restoran untuk perkenal Menu Rahmah. Tapi kita akan pertimbangkan,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Dakwaan Taman Negeri Selangor diceroboh: ‘Arahan henti tugas sudah dibuat’