Rayuan waris Sultan Sulu ditolak, satu lagi kemenangan buat Malaysia – Azalina

Malaysia meraih satu lagi kemenangan apabila Mahkamah Perlembagaan Sepanyol telah menolak rayuan perlembagaan luar biasa yang difailkan oleh sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka sebagai waris Sultan Sulu.

Mereka memfailkan rayuan untuk menolak pembatalan pelantikan peguam Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan baru sahaja menerima pengesahan rasmi bahawa rayuan perlembagaan yang difailkan pihak menuntut telah ditolak.

“Hasil dari itu pembatalan Stampa (yang telah muktamad dan mengikat) juga telah disahkan oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol.

“Oleh itu pihak mahkamah telah mengesahkan kedudukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 29 Jun 2021 Mahkamah Tinggi Madrid (HCJM) mengeluarkan keputusan membatalkan pelantikan tidak sah Stampa sebagai penimbang tara.

HCJM pada mulanya melantik Stampa pada tahun 2019 tanpa melibatkan Malaysia. Akibat keputusan itu, HJCM secara retroaktif membatalkan pelantikan Stampa dan membatalkan semua tindakannya sebagai penimbang tara termasuk keputusan awal yang diperolehnya di Madrid.

Keputusan HCJM itu adalah muktamad, mengikat dan boleh dikuatkuasakan secara langsung dan hanya tertakluk kepada rayuan perlembagaan luar biasa di Mahkamah Perlembagaan Sepanyol jika keadaan luar biasa dipenuhi.

Sebenarnya pihak menuntut mematuhi keputusan pembatalan HCJM dan mengambil langkah untuk melantik penimbang tara lain.

“Akibatnya mereka mendapati Stampa bukannya seorang penimbang tara. Pada 5 November, pihak menuntut memfailkan rayuan perlembagaan memohon agar keputusan pada 29 Jun 2021 dibatalkan. Rayuan tersebut tidak berjaya memberikan kesan kepada keputusan pembatalan tersebut,” katanya.

Kata Azalina Mahkamah Perlembagaan Sepanyol telah menolak rayuan perlembagaan yang difailkan oleh pihak menuntut kerana mereka telah mengugurkan tuntutan untuk melantik penimbang tara ekoran keputusan pembatalan itu sekali gus membuatkan mereka secara sukarela mengabaikan prosiding yang menjadi asas kepada rayuan mereka.

“Keputusan ini mengesahkan kedudukan undang-undang yang ditegaskan oleh Malaysia sejak pertikaian ini bermula secara berkesan menamatkan strategi kehakiman pihak menuntut di Sepanyol.

“Ekoran pembatalan pelantikan Stampa di Sepanyol, beliau tidak lagi mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai penimbang tara dan mesti menamatkan segera prosiding,” katanya.

Sebaliknya beliau telah membuat penentang terbuka terhadap keputusan HCJM pada 29 Jun 2021. Stampa bagaimanapun memilih untuk menyampaikan ‘keputusan akhir’ yang tidak sah memberikan pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak menuntut bagi wilayah Sabah.

Malaysia kemudian telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada untuk membatalkannya dua keputusan diberikan Stampa, katanya

Tambah Azalina Mahkamah Perancis telah menangguhkan penguatkuasaan keputusan akhir yang diberikan oleh Stampa di Perancis sementara menunggu keputusan tindakan Malaysia untuk mengetepikannya atas dasar ia mungkin mengancam kedaulatan Malaysia terhadap Sabah.

“Mahkamah Sepanyol kini telah mengesahkan lagi pembatalan pelantikan Stampa yang menyalahi undang-undang sebagai penimbang tara, mendapati bahawa beliau tidak pernah mempunyai sebarang undang-undang kuasa untuk bertindak dalam kapasiti itu atau mengeluarkan sebarang keputusan dan oleh itu ia adalah terbatal.

“Keputusan Mahkamah Perlembagaan Sepanyol baru-baru ini membuktikan dasar kerajaan untuk bersungguh-sungguh mempertahankan Malaysia di setiap mahkamah dan forum, menggunakan semua kuasanya, hak dan sumber untuk memastikan bahawa kepentingan Malaysia, imuniti berdaulat dan kedaulatan dilindungi sepanjang masa,” ujarnya.