Sesi sekolah 8 pagi bukan isu utama KPM buat masa ini

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendengar dan mengambil maklum cadangan memulakan sesi persekolahan di Semenanjung pada jam 8 pagi, bagaimanapun ia bukan isu utama ketika ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pandangan ibu bapa dan pemegang taruh adalah antara faktor penting untuk diambil kira.

”Kita ambil pandangan itu, tetapi kita juga harus melihat kepada keseluruhan pendapat. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pun pastinya ada pandangan mereka berkaitan itu dan telah pun mengeluarkannya.

”Cadangan-cadangan berkenaan kami ambil kira, cuma hari ini tiada ketetapan yang dibuat,” katanya apabila ditanya pemberita mengenai cadangan yang diutarakan seorang pakar pendidikan berhubung syor tersebut, baru-baru ini.

Ditanya kemungkinan cadangan itu akan dibincangkan pihaknya dalam masa terdekat, beliau berkata ia bukanlah perkara utama buat masa ini.

”Saya fikir untuk setakat ini ia bukan isu utama. Ada banyak lagi isu lain yang perlu didahulukan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Perdana NUTP 2023 bertemakan ‘Informasi Berkredibiliti Teras Pemimpin Berwibawa’.

Seminar selama tiga hari yang bermula semalam itu, diadakan di sebuah hotel di ibu negara yang turut dihadiri presidennya, Aminuddin Awang.

Pada 31 Januari lalu, pakar pendidikan dari Pusat Kajian dan Kesejahteraan, Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad mencadangkan kepada KPM supaya sesi persekolahan di Semenanjung dimulakan pada jam 8 pagi.

Jelasnya, cadangan itu adalah meraikan konsep Malaysia Madani dan slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’.