2,000 dijangka sertai AMANAH jika penyertaan Zahidi diluluskan

Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) terutama AMANAH di Padang Besar akan bertambah kerana dijangka 2,000 orang akan menyertai parti itu secara berperingkat jika penyertaannya diluluskan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Datuk Zahidi Zainul Abidin Bersama Penduduk Padang Besar di Dewan Bukit Jernih hari ini.

Sebelum ini, bekas Ahli ParlimenPadang Besar dari 2013 hingga 2022 yang dipecat daripada Umno itu berhasrat untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun, calon Bebas semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi itu menerima pelbagai reaksi dari peringkat atasan sehingga ke akar umbi parti.

“Sebelum ini saya ada memaklumkan akan masuk PH tidak mengira parti komponen yang mana satu pun.

“Malah, kita sedang berbincang dengan PKR atau AMANAH tetapi apabila kita bertanyakan kepada akar umbi (Padang Besar), mereka menyarankan saya supaya menyertai AMANAH disebabkan perhatian boleh diberikan di kawasan ini terutamanya berkaitan pertanian oleh kerana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu adalah Presiden AMANAH.

“Oleh hal demikian, kita tengah menunggu idea daripada akar umbi ini supaya kita dapat sampaikan kepada pihak di atas (PH) dan kepimpinan AMANAH kerana hari ini juga seramai 150 orang hadir di sini (Padang Besar) hendak menyertai PH sama ada PKR atau AMANAH.

“Namun, saya lebih condong penyertaan kepada AMANAH malah (pemangku) Setiausaha AMANAH Kawasan Padang Besar juga turut hadir dalam majlis hari ini,” ujarnya dipetik BH.