‘Abang Mat layak terima Datuk Seri, usaha pulih stok telur wajar diberi markah’
Penganugerahan gelaran Datuk Seri kepada Mohamad Sabu dianggap layak selepas usaha berterusan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) itu menangani pelbagai isu rakyat terutama bekalan telur ayam.
Menurut NGO Pertubuhan Kebajikan Dapur Tani, ‘Abang Mat’ wajar diberi markah yang baik atas keberhasilan memulihkan bekalan telur biarpun pada awalnya langkah mengimport makanan protein itu agak menimbulkan kontroversi.
Pengasasnya, Zamir Ghazali berkata, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkenaan sudah sepatutnya mendapat penghormatan gelaran tersebut kerana sebelum ini beberapa kali menolak penganugerahan tersebut.
“Abang Mat pada saya sudah lama layak mendapat apa-apa jua gelaran. Seingat saya, dia sudah menolak satu kali. Kali ini, memang ada keperluan untuk dia terima.
“Saya lihat memang wajar diberikan satu markah yang baik untuk beliau khususnya berkenaan isu-isu yang sangat signifikan kepada rakyat sekarang berkaitan dengan harga telur.
“Dalam isu telur ini, tindakannya walaupun kadangkala nampak agak kontroversi kerana mengimport telur, tapi dia berhasil melaksanakan rancangan jangka pendek dan panjang demi memastikan telur di pasaran kembali stabil,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Pada 17 Januari lalu, Mohamad memaklumkan kekurangan bekalan telur di pasaran negara semakin pulih susulan langkah sementara yang diambil kerajaan membenarkan telur diimport.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, hal tersebut terbukti apabila data Jabatan Veterinar menunjukkan kekurangan telur pada Disember lalu hanyalah sebanyak sejuta, berbanding situasi kekurangan kritikal sebelum itu iaitu November sebanyak 157 juta dan 118 juta pada Oktober.
Sementara itu, bagi Zamir yang juga Ketua Pemuda AMANAH Terengganu, MAFS kini berjaya menunjukkan prestasi yang baik selepas mendapat pemarkahan tercorot menurut laporan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali semasa pemukiman Jemaah Menteri Januari lalu.
Beliau berpendapat Mohamad berjaya memposisikan kembali peranan kementerian pertanian di tahap yang terbaik.
“Markah paling rendah dan tercorot ini menjadi satu cabaran kepada Abang Mat dan beliau berjaya untuk memberikan pemulihan itu,” kata Zamir lagi.
BACA JUGA Datuk Seri, pisang bertandan dan orang kampung