Kabinet bayangan PN gagal wakili komposisi rakyat Malaysia
Kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal melambangkan komposisi rakyat di Malaysia kerana melibatkan dua orang sahaja Ahli Parlimen bukan Melayu.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Azli Yusof berkata, kekurangan pemimpin bukan Melayu dalam PN bukanlah hal yang pelik kerana kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu kebanyakannya di kerusi majoriti orang Melayu.
Justeru, jelas Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor itu, apabila PN menubuhkan Kabinet bayangan, mereka tidak ada pilihan selain meletakkan dua wakil rakyat bukan Melayu kerana itu sahaja yang mereka ada.
Dua wakil rakyat yang dirujuk ialah Datuk Ali Biju yang memegang portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak pembangkang manakala Naib Presiden Bersatu, dan Datuk Seri Ronald Kiandee yang diberi tugas berkaitan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Jadi, sebenarnya Kabinet bayangan itu sendiri tidak membayangkan yang mereka ini mewakili komposisi masyarakat yang ada dalam negara kita ini.
“Dengan sendirinya kita tidak tahu bagaimana mereka boleh berperanan dengan baik untuk pastikan bahawa apa yang mereka kemukakan nanti, atau saranan mereka itu boleh mencerminkan pembangunan, kebajikan dan manfaat yang menyeluruh bagi mewakili seluruh masyarakat dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kabinet bayangan untuk menyelaraskan pengurusan blok pembangkang itu sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.
Dalam senarai Jawatankuasa Portfolio Ahli Dewan Rakyat PN itu, Muhyiddin dinamakan sebagai Ketua Ahli Parlimen manakala timbalannya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Dalam masa sama, Azli turut menyentuh jumlah wakil rakyat wanita di dalam Kabinet bayangan PN yang tidak mencecah pun 30 peratus.
Menurut Ketua AMANAH Shah Alam berkenaan, ia jauh daripada mewakili kumpulan sasar dalam kalangan wanita.
“Begitu juga dengan perwakilan mereka yang ada dalam Kabinet bayangan ini di mana jumlah wanita jauh tersasar daripada (sekurang-kurangnya) kuota 30 peratus.
“Mungkin mereka sendiri tidak ada wakil wanita yang yang berkebolehan untuk diketengahkan sebagai anggota dalam Kabinet.
“Walau bagaimanapun, kita harapkan mereka boleh berperanan sebagai pembangkang yang berwibawa memberikan saranan-saranan yang membina untuk pastikan negara kita ini dapat dipacu untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya lagi.
Tiga ahli Parlimen wanita di dalam Kabinet bayangan pembangkang termasuklah Datuk Mas Emieryati Samsudin (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi); Datuk Siti Zailah Mohd Yusof (Kementerian Wanita Keluarga dan Masyarakat); dan Dr Halimah Ali (Kementerian Perpaduan Negara).
BACA JUGA Empat negeri dikuasai Pas sudah madani?