Malaysia-Singapura bersama tangani isu penipuan dalam talian

Malaysia dan Singapura akan memulakan kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang perlindungan peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerjasama perkongsian maklumat dan kepakaran serta amalan terbaik dalam menangani isu penipuan dalam talian (online scam) secara lebih berkesan sedang dirangka melibatkan kedua-dua negara itu.

Menurutnya, kerjasama untuk mengoptimumkan penggunaan data sebagai sumber komoditi yang berharga dalam pertumbuhan ekonomi digital negara turut dibincang dalam mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Josephine Teo hari ini.

“(Mesyuarat) membincangkan dengan lebih mendalam hala tuju kerjasama Malaysia dan Singapura dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital selain bidang komunikasi,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai baru sahaja memperbaharui kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 30 Januari lepas di negara jiran itu.