Sany bakal bawa isu pemandu Grab ke Parlimen

Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan bakal mengetengahkan isu penurunan komisen pemandu Grab dalam sidang Parlimen yang dijadualkan bermula 13 Februari ini.

Wakil rakyat AMANAH itu juga akan mengadakan pertemuan dan dialog dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi menyelesaikan isu membabitkan pengurangan kadar tambang kepada pemandu Grab.

“Pemandu Grab merasakan (peraturan baharu) itu adalah satu perkara yang zalim kerana pendapatan mereka terjejas sehingga 40 peratus.

“Kita mendengar rintihan dan cadangan yang dikemukakan oleh pemandu Grab yang meminta campur tangan khususnya daripada Menteri Pengangkutan untuk meneliti kesemua tuntutan pemandu untuk menaikkan semula kadar tambang daripada 25 sen yang diturunkan bagi setiap satu kilometer kepada 70 sen,” tegasnya.

Beliau yang juga Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH berkata demikian dalam sidang media selepas perjumpaan bersama pemandu Grab di Depoh Operasi KLIA Sepang hari ini.

Sany menambah isu tersebut perlu diselesaikan memandangkan golongan pemandu Grab merupakan ‘duta kecil’ kepada negara ini yang sepatutnya memperoleh pendapatan yang lebih baik.