Pimpinan nasional AMANAH tentukan keputusan kemasukan bekas ahli parti lain

AMANAH tidak menerima sebarang permohonan rasmi mana-mana bekas ahli parti lain termasuk bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin untuk menyertai parti berkenaan.

Timbalan Presidennya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini desas-desus yang menyatakan bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu dikatakan akan menyertai AMANAH hanya diketahui melalui laporan media.

“Kita hanya mendengar tentang (Zahidi) melalui kenyataan akhbar, tetapi kita tidak menerima (penyertaan dalam AMANAH) secara rasmi,” kata kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan  Seminar Tarbiah Rahmah (STAR) di Shah Alam pada Ahad.

Terdahulu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menasihati agar kompenan parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak menerima bekas ahli yang dibuang ataupun digantung.

Ditanya mengenai perkara itu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata secara prinsip memang pihaknya agak keberatan untuk menerima mana-mana individu yang dipecat atau diambil tindakan displin untuk diterima masuk ke dalam AMANAH.

Namun jelas beliau keputusan mengenai perkara itu akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti di peringkat nasional.

“Biasanya AMANAH menerima permohonan daripada sesiapa untuk menyertai parti ini. Namun begitu, sebelum kami buat keputusan biar jawatankuasa nasional yang bincang,” katanya.

Pada 4 Februari lalu, Zahidi menyuarakan niat menyertai AMANAH selepas hasratnya menganggotai PKR menerima pelbagai reaksi ahli parti itu.

Beliau mendakwa menerima maklum balas daripada akar umbi di Padang Besar yang menyarankannya menyertai AMANAH bagi membantu penduduk tempatankerana berkaitan pertanian.

Ini memandangkan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Zahidi yang pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Besar selama dua penggal dipecat daripada UMNO selepas bertanding sebagai calon bebas di Parlimen itu dan DUN Titi Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-15.

BACA JUGA: 2,000 dijangka sertai AMANAH jika penyertaan Zahidi diluluskan