PN jangan manipulasi rakyat, kurangkan peruntukan Ahli Parlimen bukan deraan

Ketika pemimpin Perikatan Nasional (PN) ‘melalak’ ekoran pengumuman Perdana Menteri bahawa peruntukan Ahli Parlimen dikurangkan, golongan netizen menyambut baik tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai salah satu langkah berjimat.

Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Yu Sani berkata Perdana Menteri sudah pasti mempunyai alasan kukuh mengurangkan bajet Ahli Parlimen dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara.

“DSAl (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah seorang pemimpin yang terbaik untuk rakyat Malaysia, biarlah beliau mentadbir negara dengan cara beliau, mungkin keputusan ini yang terbaik bagi memulihkan semula ekonomi negara yang memerlukan pengorbanan besar,” komen dalam Facebooknya.

Senada dengannya, Rushd Rahman juga menyambut baik langkah penjimatan tersebut serta mencadangkan kerajaan memberi peruntukan terus kepada pihak berkepentingan tanpa melibatkan pihak ketiga.

“Alhamdulillah, potong separuh untuk semua Ahli Parlimen tak kira kerajaan atau pembangkang separuh lagi peruntukkan juga boleh terus kepada rakyat. Contoh kalau sekolah, teruskan kepada pihak sekolah atau PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), tidak ada orang tengah lagi, senang untuk mereka aturkan program,” tulis beliau dalam komennya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Janya Janya berkata langkah penjimatan kerajaan bukan untuk menekan mana-mana pihak sebaliknya ia langkah efektif untuk sampai kepada rakyat.

“Tindakan DSAI itu bukan deraan atau balas dendam. Tindakan itu untuk menjimatkan duit rakyat dan negara. Kalau ada keperluan yang betul, buat sahajalah permohonan tambahan mengikut saluran yang sedia ada, jangan nak manipulasi isu ini kepada rakyat,” tulis Janya Janya.

Pada 2 Februari lepas, Perdana Menteri menjelaskan peruntukan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan dari RM3.8 juta kepada RM1.3 juta sebagai langkah pengawalan kewangan negara.

Peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan semasa.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sedia mempertimbangkan untuk memberi peruntukan pembangunan tambahan seperti membaiki jalan raya, sungai dan rumah ibadah yang mengalami kerosakan khususnya di kawasan Parlimen terjejas.

Difahamkan, komen ini dibuat susulan dakwaan ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan pengurangan peruntukan Ahli Parlimen akan menjejaskan faedah kepada rakyat.

BACA JUGA: Tiada peruntukan Parlimen: Shahidan jangan bersangka buruk