Telco boleh tawar pelan internet lebih rendah ikut kesesuaian – Fahmi
Syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) boleh menawarkan perkhidmatan internet pada kadar lebih rendah mengikut kesesuaian berbanding harga Pakej Internet Perpaduan yang diumumkan kerajaan sebelum ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kadar harga pakej tersebut hanyalah garis asas bagi telco dalam menyediakan perkhidmatan berkenaan kepada pelanggan masing-masing.
“Ini adalah pengumuman dasar, sekiranya syarikat-syarikat ingin memberi tawaran yang lebih baik itu terpulang kepada mereka, tapi waktu ini baseline kita ialah RM69 sebulan untuk jalur lebar tetap dan RM5 sebulan untuk prabayar internet mudah alih.
“Saya harap syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet jalur lebar akan meneliti respons rakyat dan memberi pakej lebih baik,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Residensi Suria Pantai di sini pada Ahad, lapor Bernama.
Khamis lalu Fahmi mengumumkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap dengan harga lebih rendah bagi membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas.
Perkhidmatan itu disediakan dengan kelajuan 30 Mbps bersama data tanpa had dengan caj hanya RM69 sebulan, serta kontrak langganan selama 24 bulan.
Pelan itu akan memberi penjimatan 22 peratus dari harga asal atau penjimatan RM480 dalam tempoh dua tahun.
Sebelum ini Fahmi mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas yang berada di pasaran mulai Februari.
Dalam pada itu, menjelaskan mengenai perbezaan antara dua pakej tersebut beliau menyatakan pakej RM5 sebulan ialah penggunaan ‘mobile data’ telefon manakala RM69 sebulan melibatkan jalur lebar tetap atau WiFi di rumah.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata pihaknya juga akan menyediakan pangkalan data bagi memudahkan syarikat telekomunikasi membuat rujukan dalam menentukan mereka yang layak untuk menikmati kemudahan pakej berkenaan.
Beliau berkata ketika ini, pakej berkenaan yang seiring konsep Malaysia Madani disasarkan bagi membantu golongan B40 namun telco juga boleh memberikan kemudahan itu kepada golongan M40 bawahan sekiranya terdapat keperluan.
BACA JUGA: Rangkaian 5G Digital Nasional diumum hujung Mac – Fahmi