Durian pun dah ada Menu Rahmah
Walaupun tidak terbabit dalam program Menu Rahmah, terdapat peniaga durian turut menurunkan harga Raja Buah itu serendah RM4.99 sebekas.
Inisiatif peniaga yang dikenali Durians Atok menawarkan jualan dengan harga mampu milik itu dilihat menyahut seruan kerajaan madani diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ekoran mendapat sambutan hangat, peniaga durian di Jalan Kebun, Shah Alam itu menasihatkan orang ramai agar datang lebih awal memandangkan jualannya cepat habis.
“Jangan lewat dari 4.30 petang kalau nak datang. Durian lain ada lagi. Terima kasih semua yang sudi sokong Atok,” katanya menerusi perkongsiannya di Facebook.
Bagi jualan pada hari ini, beliau memaklumkan bahawa operasi jualannya bermula jam 2.30 petang.
Walau bagaimanapun, peniaga berkenaan bertindak mengawal kuantiti pembelian durian dalam bekas plastik itu bagi memastikan setiap pelanggan berpeluang membelinya.
“Minta maaf ya. Atok hadkan seorang dua bekas untuk durian Menu Rahmah ini supaya semua yang datang dapat membeli,” tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, program Menu Rahmah bagi membantu golongan B40 membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam.
Malah, program yang bermatlamat membantu meringankan beban rakyat itu dilihat mewujudkan persaingan sihat apabila terdapat pengusaha restoran menurunkan harga makanan jualan masing-masing hingga 30 peratus walaupun tidak terbabit dalam program tersebut.
Dalam masa sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled turut mengumumkan bahawa inisiatif Menu Rahmah akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh terdekat.
BACA JUGA Makanan ringkas tapi berkhasiat: Orang ramai puji Menu Rahmah
Â