Hadi harap ‘mereka yang banyak cakap’ faham konsep sedekah Pas
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengulangi pendiriannya mengenai isu ‘sedekah’ dengan menegaskan bahawa ahli partinya menghayati konsep amalan itu dalam semua lapangan.
Menurutnya, sedekah bukan sahaja bersifat harta dan barangan, bahkan termasuk juga sedekah dari sudut ilmu, khidmat tenaga dan nasihat yang baik sama ada dengan lisan atau tulisan.
“Kepada mereka yang banyak cakapnya berkenaan perkataan sedekah, diharapkan terlebih dahulu memahami konsep sedekah dalam Islam yang dibawa oleh Parti Islam Se-Malaysia (Pas).
“Ahli-ahli Pas menghayatinya dalam semua lapangan sejak peringkat awal sebelum dan selepas penubuhan Pas lagi.
“Penglibatan mereka bukan hanya dalam politik dan ketika musim pilihan raya, bukan secara terpilih mahupun bermusim,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Malah, Ahli Parlimen Marang berkenaan menganggap tuduhan yang mengatakan Pas merasuah pengundi ketika pilihan raya adalah terlalu kecil bagi menghadapi orang yang bersedekah.
“Berbanding bantuan mereka itu yang diberikan secara bermusim atau bertujuan untuk mencapai matlamat politiknya sahaja, laksana ayam yang bertelur sebiji, namun berkokok riuh sekampung,” tempelaknya.
Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu juga mendakwa banyak parti yang pernah dan sedang bekerjasama dengan Pas menyaksikan betapa hebatnya pengorbanan jentera parti itu yang tidak bermusim dan bertempat tanpa meminta upah.
“Inilah hasil tarbiah yang tidak memisahkan urusan dunia daripada urusan agama yang berwawasan akhirat.
“Perkara ini hanya boleh didapati dalam Islam, tetapi tidak terdapat dalam ideologi ciptaan manusia,” sembangnya lagi.
Pada 21 Januari lalu, Hadi dilapor mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu apabila mendakwa ia adalah sedekah dan hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.
Bagaimanapun, kenyataan yang dilihat cuba mewajarkan pemberian wang tunai ketika musim pilihan raya itu sebagai sedekah itu dipertikai banyak pihak.
Malah, badan NGO berkaitan isu korupsi menyifatkan perbuatan itu sebagai mengelirukan masyarakat dengan mesej yang salah dan menormalisasikan jenayah rasuah.
BACA JUGA Kalau sedekah, kenapa kena ikrar sokong Pas?
Â