Lapangan Terbang Subang bakal jadi hab penerbangan serantau, city airport
Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang akan mengalami transformasi strategik menyeluruh sebagai hab aeroangkasa dan penerbangan bisnes yang digemari di rantau Asia Pasifik.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata LTSAAS juga bakal menjadi lapangan terbang bandar raya atau city airport dengan kapasiti maksimum lapan juta penumpang setahun.
Beliau mengumumkan pelan pembangunan semula lapangan terbang (SARP) itu telah disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berasaskan hala tuju kerajaan yang akan dilaksanakan.
“Pada 2 Februari lalu saya telah bentangkan SARP kepada Jemaah Menteri dan cadangan pembangunan itu telah mendapat kelulusan secara prinsip dengan mengambil kira pertimbangan teliti.
“Pembangunan LTSAAS akan beri fokus kepada ekosistem aeroangkasa, penerbangan awam dan bisnes serta city airport,” katanya dalam sidang akhbar di LTSAAS, Subang pada Isnin.
Menurut Anthony ekosistem yang akan dibangunkan di lapangan terbang itu merangkumi tujuh komponen iaitu pusat industri aeroangkasa, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pusat penyelidikan dan pembangunan.
Jelasnya, ia juga merangkumi operasi penerbangan am (GA), operasi penerbangan bisnes (BA), urban air mobility (UAM) dan operasi penerbangan komersial serantau.
”Melalui SARP, LTSAAS bakal berubah menjadi sebuah hab penerbangan serantau dengan kapasiti maksimum seramai lapan juta penumpang setahun.
”Pertumbuhan dan perubahan wajah LTSAAS akan menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.
Anthony berkata MAHB akan merangka seluruh pelan pembangunan semula lapangan terbang itu secara terperinci setelah mengambil kira pandangan semua pihak dalan sesi libat urus dengan sikap yang terbuka dan membina.
”Anggaran kos pembangunan semula LTSAAS akan diumumkan selepas pelan terperinci tersebut siap dibentangkan pada masa hadapan,” katanya.
BACA JUGA: Fokus aspek operasi elak kelewatan penerbangan – Anthony Loke
Â