Makanan tidak halal: Tidak wajar politikkan Menu Rahmah
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengecam tuduhan pihak tertentu yang menggunakan Menu Rahmah sebagai alat politik untuk melaga-lagakan masyarakat Malaysia.
Difahamkan tindakan itu susulan daripada kenyataan akhbar online yang dilihat sengaja menggunakan “makanan tidak halal” sebagai tajuk utama terkait pelaksanaan program Menu Rahmah tersebut.
Chean Chung berkata, Menu Rahmah bukan sahaja membantu golongan tertentu tetapi juga meluas untuk segenap lapisan masyarakat.
“Menu Rahmah ini menu makanan yang boleh didapati dalam harga RM5 sahaja serta lengkap dan bernutrisi.
“Tetapi, ada pihak yang cuba melaga-lagakan isu ini dengan mengatakan bahawa menu tidak halal akan masuk dalam Menu Rahmah.
“Menu Rahmah (sebenarnya) bukan sahaja khusus kepada golongan tertentu tetapi masyarakat lain, Cina dan India juga boleh mendapatkan menu sesuai dengan budaya mereka.
“Saya hairan kenapa makanan pun hendak dipolitikkan,” kata beliau dalam petikan Tiktoknya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga pernah mencadangkan digubal Akta Anti Kebencian bagi menghukum mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian tanpa asas.
Dalam pada itu, Chean Chung memuji Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub atas iniasitif kementeriannya yang menyediakan Menu Rahmah tersebut bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Apapun kita boleh berikan pujian kepada menteri yang buat kerja dengan baik.
“Kalau boleh, penggunaan big data (data raya) juga membantu kita untuk dapatkan lokasi restoran yang menyediakan menu ini, setuju?,” ujarnya.
Pada 31 Januari lalu, kerajaan mengumumkan hampir 15,000 kedai makan dan restoran di seluruh negara menyertai inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan KPDN bagi membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
BACA JUGA Durian pun dah ada Menu Rahmah