PM Anwar sambung tugasan selepas disahkan sihat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambung tugasannya selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN) pagi semalam.

“Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf.

“Alhamdulillah,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook berserta gambar yang juga kelihatan anaknya, Nurul Izzah sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.

Turut kelihatan dalam foto itu ialah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri yang juga bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilapor tidak sihat bagi menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.

Hal tersebut dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ketika ditemui pemberita pada perayaan itu di Kuil Sri Subramaniar Swamy.

Â