Potong peruntukan: Ahli parlimen boleh kerjasama dengan syarikat swasta

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mencadangkan setiap wakil rakyat perlu mencari jalan bagi memaksimumkan dana termasuk peruntukan Parlimen.

Menurut Fahmi, melalui ikhtiar tersebut wakil rakyat disaran agar bekerjasama dengan syarikat GLC atau konglomerat yang boleh memainkan peranan bagi membantu rakyat setempat.

“Semalam, saya ada sebut wakil rakyat perlu memaksimumkan segala sumber yang kita ada termasuklah peruntukan bagi ahli Parlimen.

“Pada masa yang sama, GLC atau syarikat korporat juga boleh mainkan peranan untuk membantu dari segi CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat).

“Melalui usaha ini, syarikat boleh menyediakan apa-apa keperluan penduduk, tanpa perlu ada unsur timbal balik,” ujarnya selepas merasmikan Program Tahun Baru Cina di Bangsar hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya media berkenaan kenyataan Alexander Natta Linggi yang mendakwa pengurangan peruntukan ini menyukarkan pusat khidmatnya, Fahmi berkata, beliau seharusnya mengambil ikhtiar bekerjasama dengan syarikat korporat yang sudi membantu warga setempat.

“Contoh di Parlimen Lembah Pantai ada syarikat yang sudi menyantuni penduduk tempatan bukan sahaja pada musim perayaan tetapi mereka juga turut membantu golongan pelajar yang sangat memerlukan,” katanya

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan peruntukan Parlimen tidak menjejaskan kepentingan rakyat, sebaliknya pengurangan ini hanya melibatkan projek kecil luar bandar (MRP).

Ahli Parlimen Petrajaya itu juga mengulas peruntukan Parlimen akan dikaji semula selaras dengan keadaan ekonomi negara.

BACA JUGA PN jangan manipulasi rakyat, kurangkan peruntukan Ahli Parlimen bukan deraan