Puluhan mangsa terkorban, gempa bumi 7.8 magnitud di selatan Turkiye dan Syria
Lebih 80 mangsa terbunuh selepas gempa bumi kuat berskala 7.8 magnitud menggegarkan selatan Turkiye dan juga utara Syria, lapor media tempatan.
Angka kematian di Turkiye meningkat kepada sekurang-kurangnya 44 orang, menurut agensi berita kerajaan yang memetik kenyataan pegawai Turki.
Di Syria pula, sekurang-kurangnya 42 orang dilaporkan terkorban di Aleppo, Hama dan Lattakia menurut kementerian kesihatan Syria, dengan lebih 200 lagi cedera.
Sejumlah bangunan dilaporkan runtuh menyebabkan puluhan mangsa terperangkap apabila gempa melanda Selatan Turkiye awal pagi Isnin.
Gegaran susulan yang berlaku kira-kira seminit juga turut menyebabkan tingkap bangunan pecah dan orang ramai bertempiaran turun ke jalanan yang diliputi salji tebal.
Gegaran dilapor turut dirasai di Cyprus dan Lebanon.
Pusat Penyelidikan Geosains Jerman (GFZ) dalam kenyataan dipetik sebagai berkata gempa berlaku pada kedalaman 10km berhampiran bandar Kahramanmaras di selatan Turkiye.
Operasi mencari mangsa yang terbunuh dan terselamat sedang dijalankan. Pihak berkuasa juga dilaporkan sedang mengkaji risiko berlakunya tsunami.
Presiden Turkiye Recep Tayyip ErdoÄŸan dalam Twitter mendoakan keselamatan rakyat yang terjejas.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk warga kita yang terjejas akibat gempa bumi KahramanmaraÅŸ dan dapat dirasaikan di beberapa kawasan di negara kita.
“Semua pasukan terbabit telah digerakkan di bawah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD),” katanya.
Dalam pada itu, Agensi Pertahanan Awam Syria mengisytiharkan darurat susulan gempa bumi.
Dalam kenyataan di Twitter, puluhan mangsa masih terperangkap di barat laut Syria awal pagi Isnin.