Zafrul yakin ekonomi negara tidak akan meleset

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan walaupun pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan sederhana berbanding tahun lalu.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia (BNM), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengunjurkan Malaysia untuk terus meraih pertumbuhan ekonomi positif dalam julat tiga hingga lima peratus.

“Definisi kemelesetan ialah pertumbuhan negatif KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) bagi dua suku berturut-turut.

“Saya tidak fikir kita akan mengalami kemelesetan. Bagaimanapun, berbanding pertumbuhan yang kita capai pada 2022, akan terdapat sedikit kesederhanaan,” lapor Bernama. 

Sehubungan itu, Zafrul berkata, Malaysia perlu merebut peluang untuk memastikan semua enjin pertumbuhan negara kekal aktif terutamanya dari segi perdagangan dan pelaburan.

Tahun lalu, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut iaitu RM2.8 trilion, dengan eksport mencapai RM1.6 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 manakala import mencecah hampir RM1.3 trilion.

Terdahulu, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia lebih sederhana tahun ini pada 4.0 peratus, selepas mencatatkan pemulihan kukuh pada 2022.