Jawatankuasa tangani fitnah melampau terhadap Kerajaan Perpaduan dibentuk

Penubuhan Jawatankuasa Strategi dipersetujui Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat buat kali pertama malam ini bagi menangani komunikasi dan kenyataan fitnah melampau terhadap Kerajaan Perpaduan.

Dua lagi ialah Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda dan Politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, ketiga-tiga jawatankuasa itu bagi memberi pandangan mengenai dasar kerajaan dan isu berkaitan pilihan raya serta strategi.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH ) itu, sebagai contoh, isu pembakaran al-Quran di Sweden yang kemudiannya menyaksikan beberapa agamawan mendakwa Kerajaan Perpaduan seolah-olah tidak mengambil tindakan terhadap isu tersebut.

“Ketika itu, kita sudah menyatakan kenyataan keras dan mengecam insiden itu, malah Kementerian Luar turut memanggil duta Sweden.

“Saya juga mengarahkan pencetakan sejuta naskhah al-Quran untuk diedar ke seluruh dunia,” ujarnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) malam ini.

Mesyuarat di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur itu dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga masing-masing merupakan Pengerusi BN dan Ketua Whip GPS.

BACA JUGA Selepas suku abad, PM Anwar jejak kembali ibu pejabat Umno