MP Pas lantik suami sebagai pegawai khas

Pakatan pembangkang iaitu Perikatan Nasional sibuk mengecam pelantikan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim namun lupa bahawa ahli parlimen mereka sendiri turut sama melantik suami sebagai kakitangan.

Satu akaun TikTok pro PKR, @kamikeadilan mendedahkan bahawa ahli parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Mohamad dari Pas melantik suami beliau sendiri, Asyrul Firdaus Hasnul sebagai pegawai khasnya.

Turut diselitkan dalam video berdurasi 13 saat itu ialah gambar suami ketika bertugas di Parlimen yang telah disiarkan oleh Asyrul di dalam akaun Facebooknya dalam satu hantaran bertarikh 20 Disember 2022 dan satu lagi gambar beliau menyuap suaminya.

Di peringkat parti, Siti Mastura ialah timbalan ketua dewan muslimat Pas Pulau Pinang.

Sejak memenangi kerusi parlimen Kepala Batas, Mastura baru sahaja mencetuskan kontroversi dengan pengundi bukan Melayu di kawasannya.

Selain itu tiada laporan berkaitan dengan pemimpin PAS yang berusia 33 tahun ini.