Siapa rahmah yang dimaksudkan PMX, Anwar Ibrahim?

Rahmah ialah perkataan Arab yang dihasilkan daripada kata dasar ‘rahima’ , yang bermaksud rasa belas dan kasih sayang. Ia merupakan sebuah usaha mempromosikan konsep masyarakat madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam konsep Malaysia Madani, misi utama Kerajaan Perpaduan ialah membina masyarakat yang bertamadun. Dan ia bukanlah hanya sebuah slogan kata, tapi bukti yang menunjukkan wujudnya perasaan belas dan kasih sayang kerajaan pada rakyat.

Salah satu buktinya adalah Menu Rahmah dengan tawaran makanan berharga RM5 dan ke bawah kepada golongan memerlukan. Dalam Menu Rahmah, makanan-makanan yang dijual tidak lebih RM5 sepinggan, tanpa sebarang had pelanggan, bermula dari tengahari sampai ke malam.

Yang menarik lagi, cadangan diambil dengan tangan terbuka oleh hampir 15,000 buah kedai makan yang berada di seluruh Malaysia, memberi peluang kepada pelanggan memilih menu yang selaras dengan pendapatan mereka.

Selain Menu Rahmah, terdapat juga Bakul Rahmah dan Payung Rahmah yang diperkenalkan Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ia merupakan program jangka pendek bagi mengurangkan beban sara hidup golongan itu dalam tempoh enam bulan, dania dijangka dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

Pelancaran Bakul Rahmah akan sampai ke setiap rumah golongan miskin tegar, pada setiap bulan. Pakej Barangan Rahmah juga bakal merangkumi 12 jenis barangan asas yang boleh dibeli di bawah harga ditetapkan. Ia merupakan usaha kecil KPDN untuk menyantuni golongan miskin tegar, berpendapatan rendah dan tidak lupa kepada pelajar universiti yang datang dari kalangan ibu bapa kurang berkemampuan.

Manakala Program Payung Rahmah Kasih Sayang pula adalah inisiatif berfokus selama 6 bulan bagi mengurangkan beban sara hidup golongan B40 dan miskin tegar, memandangkan keadaan ekonomi dunia yang dijangkakan akan jatuh merudum pada tahun ini.

Program Rahmah ini jelas menunjukkan tingginya kepedulian pentadbiran Anwar Ibrahim, selaku ketua negara untuk memastikan mereka yang susah akan terus terbela, dan bukan hanya slogan enak semata-mata yang langsung tak mendahulukan rakyat seperti yang pernah terjadi di bawah pentadbiran sebelum-sebelum ini.

Ia bahkan selaras dengan Rahmatan lil ‘alamin bermaksud Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW itu merupakan rahmat untuk seluruh alam. Malah, ia juga pernah dibincangkan dalam konteks negara yang pluralistik seperti Malaysia perlu wujudnya sikap toleransi antara kaum dan hormat menghormati antara satu sama yang lain.

Ungkapan itu disebut dalam Surah al-Anbiya ayat 107:

“Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam.”

Semoga Bantuan Rahmah ini bukan saja dapat membantu golongan susah, dan miskin tegar, malah boleh membawa Malaysia sentiasa beroleh kerahmatan dari yang Esa.