Tomyam Rahmah menu baru bantu rakyat
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bekerjasama dengan Persatuan Pemilik Restoran Tomyam Malaysia (PERTOM) bagi melancarkan “Tomyam Rahmah” sebagai menu baru dalam iniasitif yang diperkenalkan oleh kerajaan.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebanyak 50 pengusaha di bawah PERTOM bersedia untuk menyahut saranan kerajaan menyediakan menu tersebut di sekitar Lembah Klang.
“Malam ini kita memperkenalkan satu set menu tomyam iaitu nasi, ayam paprik dan juga air mineral.
“Sajian baharu kita dapat tambahkan dalam Menu Rahmah yang harganya bawah RM 5 sahaja,” jelasnya.
Salahuddin berkata demikian selepas merasmikan program pelancaran Menu Rahmah di Medan Selera Lembah Keramat, Kuala Lumpur malam ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sedang membangunkan satu aplikasi khas bagi memudahkan rakyat mendapatkan Menu Rahmah di seluruh negara.
“Pihak kementerian akan membangunkan satu aplikasi bagi memberi maklumat lokasi restoran yang ada menyediakan Menu Rahmah
“Aplikasi ini sedang kita pergiatkan dengan kerjasama semua agensi yang terlibat dalam masa terdekat, kita akan lancarkan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, pihaknya turut mempertimbangkan cadangan pemberian subsidi kepada premis makanan yang terlibat dalam Menu Rahmah.
“Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) mengambil maklum perkembangan Menu Rahmah dan beliau telah memasukkan iniasitif ini dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.
“Jadi, saya rasa, kerajaan akan mempertimbangkan (pemberian subsidi) ini,” tambah Ahli Parlimen Pulai itu lagi.
Setakat ini, sebanyak 15,000 kedai makan dan restoran di seluruh negara menyertai inisiatif Menu Rahmah bagi membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
Menu Rahmah ialah hidangan makanan merangkumi nasi, ayam atau ikan dan sayur pada harga kurang RM5.
Banyak peniaga dilihat menyahut seruan KPDN dengan mewujudkan Menu Rahmah sebagai langkah membantu golongan memerlukan meskipun keuntungannya kecil.
Inisiatif tersebut juga dilihat mampu menjadi daya tarikan pengunjung ke gerai makanan dan restoran bagi mendapatkan juadah mengikut keupayaan kewangan masing-masing.
BACA JUGA ‘Tempias Menu Rahmah, kedai makan mula turunkan harga’