Belanjawan 2023: Dasar seimbang tarik pelabur, lindungi miskin tegar – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2023 yang bakal dibentang bulan ini akan mengemukakan dasar yang seimbang bagi menarik kemasukan pelabur dan melindungi rakyat miskin tegar.

Perdana Menteri berkata perkara itu merupakan cabaran terbesar kerajaan dalamĀ  merangka Belanjawan 2023.

“Saya jelaskan bahawa Belanjawan 2023 yang akan dibentang kelak akan mengambil kira tantangan ekonomi semasa yang boleh memacu pertumbuhan negara, menarik pelaburan ke dalam negara serta membawa rahmah kepada rakyat,” katanya dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Rabu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut pertimbang daya saing, kecepatan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran dalam Belanjawan 2023.

“Saya turut maklumkan bahawa cabaran terbesar merangka Belanjawan 2023 adalah mencari dasar yang seimbang untuk menarik pelabur serta melindungi rakyat terutama golongan miskin tegar,” ujarnya.

BACA JUGA: Belanjawan 2023: Pertumbuhan ekonomi saksama berpaksikan keadilan sosial