Isu pakaian wanita: Pemikiran wakil rakyat Pas sempit, fahamilah fikah dakwah
Bekas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin menegur seorang pemimpin Pas agar memahami konsep fikah dakwah yang lebih mendalam berbanding menggunakan perkataan seksis terhadap isu pemakaian wanita di balai polis.
Beliau berkata isu wanita berseluar pendek yang tidak dibenarkan memasuki sebuah balai polis sebenarnya boleh dilihat dari pelbagai perspektif yang lebih besar.
“Ya, isu wanita berpakaian seluar pendek yang tidak dibenarkan memasuki balai polis itu sebenarnya boleh dilihat dari pelbagai perspektif yang lebih besar dan luas lagi.
“Seperti isu penafian hak asasi seorang wanita untuk membuat laporan polis, isu diskriminasi jantina, isu salah guna kuasa pihak polis atau isu penglibatan pihak polis dalam kesalahan “tort of misfeasasance in public office”.
“Tiba-tiba pemimpin Pas hanya melihat isu itu dari satu sudut sahaja iaitu dari sudut cara wanita itu berpakaian sahaja. Maaf terlalu sempit dan “myopic”,” kata Hanipa di media sosial miliknya.
Beliau dipercayai merujuk ciapan kontroversi wakil rakyat Jabi Dr Azman Ibrahim dari Pas yang mengatakan wanita seperti “barang” di media sosial milik pemimpin tersebut.
“Barang mahal bernilai tinggi akan dibungkus comel dan kemas. Kaedah pembungkusan memainkan peranan penting dalam aspek pemasaran. Kalau main jual terdedah tepi jalan, itu barang tiruan harga murah,” ujar Azman di Twitter.
Ahli Jawatankuasa Pas pusat tersebut masih mempertahankan kenyataan dengan mengatakan ia sekadar peribahasa dan analogi.
Hanipa menegaskan pemimpin tersebut perlu berhati-hati dan mengambil kaedah yang lebih berempati terutamanya melibatkan isu kemanusiaan.
“Dalam laporan media terbaru dia dikatakan mempertahankan ciapan dia tersebut.
Menurutnya lagi, pemimpin Pas berkenaan perlu mencontohi tokoh agama dalam menyantuni masyarakat yang berbeza kepercayaan.
“Saya tidak pasti adakah pemimpin Pas tersebut sedar dalam sejarah peradaban Islam di Nusantara ini ada kisah menarik yang boleh dijadikan panduan.
“Iaitu bagaimana salah seorang wali songo (pendakwah Islam) yang ‘melarang’ penduduk Islam di sebuah kariah menyembelih haiwan tertentu dan memakan dagingnya atas dasar menghormati fahaman agama tertentu.
“Para ulama di negara wali songo itu mengatakan tindakan itu bersandar pada prinsip “wisdom” dan “fiqhul dakwah” yang mendalam,” ulas Hanipa.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyarankan pihak polis agar tidak menilai seseorang melalui pemakaian mereka semata-mata.
BACA JUGA: Hadi Awang menyalah tafsir maksud undang-undang ‘sedekah’