Menu Rahmah: Usaha kerajaan kurangkan beban rakyat dipuji

Rata-rata orang ramai yang ditemui Harapan Daily dalam tinjauan di Pusat Penjaja Selera Duta, Kuala Lumpur memuji langkah Kerajaan Perpaduan menerusi Menu Rahmah dalam mengurangkan beban yang dialami rakyat ketika ini.

Hafizul

Pekerja swasta, Hafizul, 40, berkata beliau yakin dengan pelbagai langkah yang diambil kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup.

“Saya nampak usaha kerajaan pada hari ini untuk tangani kos sara hidup rakyat terutama kepada golongan B40.

“Terdapat usaha untuk menurunkan harga barangan dan makanan termasuk dengan memperkasakan sektor pengangkutan.

“Ini dapat dilihat dengan sedikit demi sedikit kemajuan,” katanya ketika ditemui Harapan Daily hari ini.

Zulhilmi

Sementara itu, kakitangan swasta, Zulhilmi, 27, turut berpendapat bantuan kerajaan seperti pengenalan Menu Rahmah adalah sebagai langkah mengurangkan beban kos sara hidup masa kini.

“Apa yang saya nampak sekarang ini adalah Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan di mana terdapat satu set makanan beserta dengan minuman dengan harga cuma RM5 sahaja.

“Ini adalah sesuatu yang bagus untuk membantu mereka yang memerlukan kerana dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian bagi orang yang betul-betul memerlukan,” katanya.

Tambahnya, langkah tersebut adalah satu tindakan yang bijak untuk menangani isu peningkatan harga makanan dan tepat pada waktunya.

Dalam masa sama, golongan M40 yang juga terkesan dengan isu kos sara hidup turut berharap agar kerajaan tidak melupakan mereka.

Norshidah

Hal itu disuarakan kakitangan kerajaan, Norshidah, 39, yang berpendapat bahawa usaha yang berterusan dilakukan oleh kerajaan adalah sangat baik namun beliau berharap agar tidak meminggirkan kumpulan M40.

“Bagus tindakan pantas Kerajaan Perpaduan untuk mengurangkan kos sara hidup dengan memperkenalkan pelbagai jenis inisiatif yang dapat dinikmati oleh rakyat.

“Namun, jangan hanya tertumpu kepada golongan B40. Kalau boleh M40 pun diberi perhatian sama dan tidak dipinggirkan,” ujarnya lagi.

Suraya

Perkara sama turut disampaikan seorang lagi kakitangan kerajaan, Suraya, 39, yang mahu golongan M40 diberi perhatian yang wajar oleh kerajaan dalam usaha untuk membantu rakyat yang terbeban.

“Banyak jugalah bantuan-bantuan yang disediakan untuk membasmi kemiskinan tapi kena lihat juga kepada golongan B40 dan M40 kerana kos sara hidup sekarang meningkat.

“Jika ini diberi perhatian, saya yakin orang ramai akan terbuka hati untuk menyokong program kerajaan,”

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu kos sara hidup menjadi keutamaan Kerajaan Perpaduan bagi mengurangkan beban dialami rakyat ketika ini.

Antara inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat adalah dengan memperkenalkan Payung Rahmah.

Inisiatif tersebut antaranya merangkumi pemberian bakul makanan, Jualan Murah Rahmah Kasih Sayang, Menu Rahmah dan Kafe Rahmah untuk pelajar universiti.

BACA JUGA ‘Tempias Menu Rahmah, kedai makan mula turunkan harga’