Sekretariat Kerajaan Perpaduan tubuh jawatankuasa pilihan raya hadapi PRN

Sekretariat Kerajaan Perpaduan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya bagi mendepani kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dua lagi jawatankuasa turut diwujudkan iaitu Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

“Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik ini juga akan memberi keutamaan dalam memantau kebijakan terutamanya melibatkan kos sara hidup rakyat yang meninggi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan buat kali pertama di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumput malam tadi.

Hadir sama timbalannya Datuk Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dan Datuk Seri Fadillah Yusoff.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengumumkan pelantikan Fadillah sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat.

Ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat, katanya.

“Sekretariat ini juga akan memberi pandangan mengenai kebijakan Kerajaan Perpaduan dan memastikan semua pandangan diambil kira sebelum merumuskan apa-apa dasar yang ingin diperkenal dan dilaksanakan,” katanya.

BACA JUGA: Selepas suku abad, PM Anwar jejak kembali ibu pejabat Umno

Â