Sesi bertanya soalan sejam kepada PM dibenar di Dewan Rakyat

Mesyuarat Dewan Rakyat yang akan bersidang 13 Februari depan akan memulakan kelainan baharu dengan mengadakan sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) bersama Ahli-Ahli Parlimen.

Dalam sesi itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperuntukkan tempoh sejam untuk menjawab segala persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata untuk permulaan, sesi itu akan dilaksanakan secara ujian rintis pada setiap Selasa selama sejam.

“Kita cadang sesi itu dilakukan pada setiap Selasa untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjawab soalan yang ditujukan kepada beliau dan pada Khamis pula, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

“Ini antara pembaharuan yang akan dilaksanakan, cuma ia belum boleh dimaktubkan sebagai sesi tetap.

“Kita mula sebagai ujian rintis dahulu untuk mengenal pasti apa masalah yang mungkin timbul susulan pelaksanaannya,” dipetik Bernama.

Beliau berkata, sesi PMQ itu juga memerlukan pindaan pada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sebelum digazetkan sebagai sesi tetap sidang Dewan Rakyat.

Sebagai usaha memastikan usul dibawa Ahli Parlimen dapat dibincangkan, Johari berkata, sesi Kamar Khas juga ditambah baik dengan memperbanyakkan jumlah usul, iaitu daripada dua usul setiap sesi kepada empat usul.

Johari turut berhasrat membuka ruang kepada Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan untuk mengemudikan sesi itu.

“Ini bermakna bukan saya dan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat saja yang boleh mengemudikan sesi itu, tetapi peluang turut diberikan kepada Ahli Parlimen lain,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Seterusnya, Johari berkata, beliau juga bercadang mewajibkan semua Ahli Parlimen untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan bagi memastikan status kesihatan wakil rakyat berada pada tahap optimum untuk melaksanakan tugas mereka.

Mengenai liputan media pada persidangan Dewan Rakyat pula, beliau berkata, wakil agensi media dibenarkan berada di ruang lobi Parlimen bagi mendapatkan reaksi daripada Menteri atau Ahli Parlimen, bermula persidangan ini selepas ia tidak dibenarkan susulan penularan Covid-19 sebelum ini.

Persidangan Dewan Rakyat akan bermula 13 Februari ini, didahului dengan istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum sesi perbahasan Titah Diraja selama lima hari.