Aduan Suri berjaya selesai 95 peratus aduan selepas sebulan
Aduan Suri merupakan satu pembaharuan yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan untuk memudahkan rakyat membuat aduan pengguna.
Aplikasi Aduan Suri secara WhatsApp yang dilancarkan sejak 11 Januari lalu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) begitu mudah untuk digunakan menggunakan kod QR dan pengguna tidak lagi perlu untuk menghubungi talian aduan.
Manakala keberkesanan aduan ini amat tinggi apabila diumumkan berjaya menyelesaikan 95 peratus dari 909 aduan yang diterima melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh kebanyakan aduan diterima adalah berkaitan ketiadaan bekalan, kenaikan harga serta penipuan pembelian dalam talian.
“Pada pelancaran Aduan Suri di Kedah bulan lalu, kita edarkan 500 pelekat peti sejuk yang mempunyai kod QR saluran aduan melalui WhatsApp, hasilnya 909 aduan diterima setakat ini.
“Melalui mekanisme ini, pengadu hanya imbas kod QR dan ianya akan disalurkan terus ke aplikasi aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Johor menjadi lokasi kedua kita edarkan lagi 500 pelekat peti sejuk Aduan Suri.
“Daripada 909 aduan yang kita terima, 95 peratus berjaya diselesaikan dan direspon dalam tempoh 14 hari. Malah menerusi inisiatif Aduan Suri juga maklum balas akuan penerimaan aduan segera dibuat dalam tempoh dua jam berbanding sehari sebelumnya,” katanya dipetik.
Fuziah berkata begitu dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah peringkat Johor.
Beliau juga berkata, statistik penerimaan aduan menunjukkan inisiatif Aduan Suri berjaya memperkasakan hak suri rumah sebagai golongan pembeli dan pengguna.
Pada masa hadapan, kata Fuziah, pihak kementerian berhasrat memperkasakan penggunaan Aduan Suri dengan meletakkan kod QR itu di pasaraya dan kedai.
BACA JUGA Perkasa industri akuakultur, institut pertanian antara fokus MAFS