AMANAH Selangor: Penubuhan jawatankuasa pilihan raya tanda komitmen kerjasama

Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa pilihan raya oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 7 Februari lalu bagi mendepani kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim berkata penubuhan jawatankuasa ini membuktikan komitmen kerjasama antara Kerajaan Perpaduan bagi merangka strategi menghadapi PRN.

“Kita (AMANAH) akan turuti sama seperti dengan kerajaan pusat. Fokus Selangor sekarang adalah untuk selesaikan isu rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Umno.

“Enam Ahli Jawatankuasa (AJK) daripada PH akan mengadakan perbincangan dengan Umno dalam masa terdekat,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi.

Dalam masa yang sama, Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar turut memberikan respon positif dengan tertubuhnya jawatankuasa pilihan raya antara PH dan BN ini.

“Ini akan lebih memudahkan lagi proses perbincangan antara PH dan BN Selangor mengenai beberapa perkara termasuk mengenai PRN.

“Akan ada wakil daripada PH yang akan berbincang dengan BN di peringkat negeri Selangor nanti,” katanya.

Selain Jawatankuasa pilihan raya, Sekretariat Kerajaan Perpaduan turut menubuhkan dua lagi jawatankuasa iaitu jawatankuasa strategi dan jawatankuasa pemantauan agenda kerajaan dan politik.

Jawatankuasa strategi akan menumpukan perhatian kepada bidang komunikasi dan fitnah melampau terhadap kerajaan.

Jawatankuasa pemantauan agenda kerajaaan dan politik politik pula akan memantau pelaksanaan manifesto parti dan kos sara hidup.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan berkata jawatankuasa pilihan raya akan menumpukan pada pilihan raya negeri termasuk hal-hal berkaitan pembahagian kerusi serta bagi memastikan tapak dan kesepakatan yang kukuh antara parti termasuk Sabah dan Sarawak.

Anwar turut memaklumkan bahawa jawatankuasa pilihan raya akan bersidang dalam masa terdekat yang melibatkan pengarah pilihan raya setiap parti.