Anwar: Peruntukan RM1 juta untuk Kursi Siddiq Fadzil, laksana reformasi pendidikan

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyokong aktiviti keilmuan Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (UNISEL).

Perdana Menteri berkata pihaknya percaya kerangka pemikiran yang dibawa oleh Almarhum Dr Siddiq Fadzil membawa mesej pembaharuan atau islah yang pernah beliau lontarkan sebelum ini.

“Sudah sampai ketika kita bangkit generasi baharu yang menolak fahaman jumud dan kolot serta rugikan bangsa, bangkit sebagai kekuatan semua kaum, kebangkitan yang mempertahankan akidah, nilai dan akhlak, kebenaran dan keadilan.

“Bangkit sebagai kekuatan baharu masyarakat madani Malaysia,” katanya ketika berucap dalam syarahan ulung Kursi Siddiq Fadzil bertajuk Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan di Dewan Canselori Universiti Selangor, Bestari Jaya pada Khamis.

Hadir sama Naib Canselor UNISEL Prof. Datuk Dr Mohammmad Redzuan Othman.

Sebelum ini kerajaan Selangor melalui Belanjawan 2022 menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi menyokong penubuhan Kursi Siddiq Fadzil dan UNISEL sebelum menambah lagi sebanyak RM4 juta.