Azmin atau Khairy, Bersatu Pas kini berebut siapa patut kuasai Selangor

Siapa yang akan menjadi calon Menteri Besar Selangor jika Perikatan Nasional (PN) menang dalam pilihanraya negeri (PRN) nanti kini menjadi perbahasan hangat bahkan menjadi faktor pergeseran di kalangan penyokong Bersatu dan Pas, sekutu utama parti itu.

Ia menjadi semakin menarik kerana PN benar-benar bersungguh mahu menawan negeri paling kaya di Malaysia itu.

“Bagi saya pertembungan ini kerana Selangor negeri kaya. Perebutan tak berlaku di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan hatta Pulau Pinang tetapi berlaku di Selangor.

“Jadi bagi saya, wang yang menjadi sasaran utama, bukan yang lain,” kata seorang penganalisis apabila mengulas kenyataan demi kenyataan tentang bakal calon MB Selangor jika PN menang di negeri itu.

Bersatu dilihat paling awal meletakkan nama calon MB Selangor.

Pada 1 Februari, Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berkata, calon terbaik adalah bekas MB Selangor sendiri yang juga Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Insya-Allah, pengalaman beliau mampu ke arah itu dan membantu kemenangan kita di Selangor nanti,” katanya.

Keesokannya, Pas pula mencadangkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai calon MB jika PN menang dalam pilihan raya umum nanti.

Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPS), Mohamed Sukri Omar berkata, Adun Sijankang itu paling layak.

“Tidak keterlaluan saya sebutkan antara calon yang terbaik bagi jawatan itu adalah anak jati Selangor yang mempunyai rekod bersih dan cemerlang sepanjang menjadi wakil rakyat iaitu Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi.

“Beliau yang merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor merupakan doktor perubatan dan telah menunjukkan kepimpinan sebagai pemimpin yang hebat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, 2 Februari lalu.

“Terdapat ramai calon lain yang juga layak,” kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad.

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad pula secara terbuka menolak cadangan agar Azmin dipilih sebagai calon MB.

“Ketika kita menunggu tarikh PRN (pilihan raya negeri), senario politik Selangor dikejutkan dengan spekulasi bahawa Azmin akan kembali menjadi menteri besar tetapi kali ini mewakili PN.

“Respon saya kepada berita tersebut ialah: terlalu awal untuk menamakan calon menteri besar dan terdapat ramai calon lain yang juga layak,” kata bekas Pesuruhjaya Pas Selangor kitu dalam kenyataannya.

Sehari dua ini pula, nama Khairy Jamaluddin pula disebut-sebut sebagai calon MB Selangor dari PN.

Beliau ditawarkan untuk menjadi calon PN dan ditawarkan jawatan sebagai calon MB Selangor jika PN menang dalam PRN nanti.

Media melaporkan, Pas mengalu-alukan penyertaan bekas pemimpin Umno itu ke dalam parti tersebut yang disifatkan mampu memberi impak positif terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor beranggapan pemimpin berkenaan yang dipecat daripada parti tersebut merupakan individu hebat termasuk berpengalaman dan berpengaruh.

“Prestasi KJ, berapa lama beliau jadi menteri, orang hebat, kalau dapat menyertai Perikatan Nasional (PN). Apa dia nak jadi pun Alhamdulillah, terima kasih. Saya harap ia menjadi kenyataan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Surat Hak Milik, Lesen Menduduki Sementara, Hak Milik Sambungan dan Cukai Tanah di Pendang dua hari lepas.

Jadi pengaruh parti mana lebih besar dalam PN, Bersatu atau Pas. Siapa lebih kuasa, mereka dapat pilih calon MB Selangor.

 

BACA JUGA Menuju PRN: Persaingan Bersatu – Pas bermula di Selangor?

JUGA Sedekah PRU: ‘Jawapan Hadi sekadar mahu lepaskan diri’