Sejarah PAS lebih banyak konflik berbanding Umno

Kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah kononnya akan berlaku konflik apabila Pakatan Harapan (PH) dan BN masuk Pilihan Raya Negeri (PRN) disifatkan ibarat ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

Menurut Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, Pas perlu melihat sejarah parti itu sendiri yang mengundang lebih banyak konflik dalam setiap tahaluf siyasi yang disertai mereka bersama parti parti lain.

“Saya berpandangan, konflik berlaku di mana-mana dan konflik akan sentiasa ada. PAS sendiri tidak pernah lekang dari konflik. Nik Amar perlu cermin diri. Bermuhasabahlah. Jangan sampai jadi ibarat “meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri”.

“Sejak PAS bersama Semangat 46, Gerakan Rakyat (GERAK), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat pun, konflik sentiasa wujud.

“Dalam sejarah terdekat PAS bersama parti-parti gabungan, PAS juga tidak dapat elak konflik khususnya selepas ketiadaan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz.

“Pada waktu itu, konflik PAS ialah samada untuk meneruskan gabungan parti itu dalam Pakatan Rakyat atau berkerjasama dengan UMNO yang disebut-sebut sebagai kelompok pro Unity Government atau UG,” katanya dalam kenyataan.

Akibat tidak berdaya menangani konflik dalaman itu, kata Umar, maka parti tersebut berpecah lalu lahirlah Parti Amanah Negara yang lebih setia bersama Pakatan Harapan.

Malah katanya, dalam PRU 15 yang lalu pun PAS berhadapan konflik apabila terdapat dua kelompok iaitu kelompok yang mahukan UMNO menerusi Muafakat Nasional dan satu lagi ingin bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional.

“Konflik tidak perlu dijangka-jangka. Konflik akan tetap berlaku apatah lagi dalam politik. Tambahan pula politik Malaysia hari ini yang semakin rencam.

“Persoalannya, bagaimana kita dapat dan akan menguruskan konflik. Di situlah letaknya peranan kepimpinan dan kepemimpinan.

“Dan saya cukup yakin, dengan barisan kepimpinan serta kekuatan setiap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, segala konflik yang timbul akan dapat diuruskan dengan berhemah serta bijaksana,” katanya lagi.

Untuk rekod, PH dan parti parti Kerajaan Perpaduan mula membentuk Sekretariat Kerajaan Perpaduan kelmarin dalam usaha membentuk kerjasama lebih menyeluruh menghadapi PRN yang dijangka pada bulan Jun ini. Kerjasama itu melibatkan juga parti parti di Malaysia Timur untuk PRN pada masa hadapan.

BACA JUGA Menu Rahmah: Usaha kerajaan kurangkan beban rakyat dipuji