Isu kaum, agama: PN lakukan pengherotan maklumat di Selangor

Isu sentimen perkauman dan agama yang dimainkan secara melampau oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu berkemungkinan besar akan diteruskan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor Jun ini.

Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Azli Yusof berkata, lebih malang dan memalukan apabila terdapat pemimpin dan calon PN yang menggunakan sentimen tersebut tanpa rasa bersalah untuk memenangi pilihanraya.

“Memang kita sudah kenalpasti antara punca kemenangan PN pada PRU15 lalu termasuk di Selangor adalah disebabkan oleh sentimen agama dan perkauman.

“Sentimen kaum dan agama yang dimainkan termasuk dakyah-dakyah oleh PN menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab terhadap pengherotan maklumat yang menyebabkan orang percaya.

“Sentimen seumpama ini harus dihentikan dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja berleluasa di Selangor,” katanya kepada Harapan Daily.

Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, mengakui platform media sosial paling popular ketika ini, Tik Tok digunakan secara meluas sebagai senjata bagi PN demi kepentingan politik mereka.

Sebagai ahli politik, beliau melihat pendekatan pembangkang itu sebagai usaha mengelirukan pendapat orang Melayu terutama anak muda yang kurang faham taktik songsang PN untuk berkuasa.

“Inilah naratif yang mereka (PN) lakukan dengan menggunakan medium seperti Tik Tok beserta dengan tuduhan-tuduhan palsu yang menghina orang lain sehingga sanggup memfitnah.

“PN menggunakan ramai pempengaruh digital (digital influencer) yang berbayar sekaligus menyebabkan mereka dapat tarikan ramai dan inilah antara puncanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempertahankan hak kebebasan bersuara namun pada masa sama menolak fitnah dan tohmahan yang tidak berasas.

“Semua orang bebas bersuara tetapi mestilah bersandarkan kepada fakta yang betul bukan fakta yang diherotkan atau dipalsukan.

“Perkara ini harus dikawal, pada masa yang sama kita usahakan juga supaya lebih banyak penjelasan dapat dilakukan dalam media cetak, elektronik termasuk media sosial supaya masyarakat dapat maklumat yang sebenarnya,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Awas, lesen kedai makan tidak akan disambung kalau tandas kotor

Â