Menuju PRN: Persaingan Bersatu – Pas bermula di Selangor?

Kurang 4 bulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan berlangsung suasana politik di negeri termaju di Malaysia itu semakin memanas.

Sebulan lalu, Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menunggang sentimen Melayu – Islam dan mendapat laba besar dalam sokongan kalangan Melayu luar bandar serta anak muda berkobar kobar memberi amaran akan merampas Selangor daripada tangan Pakatan Harapan (PH).

Tidak banyak penganalisis ketika itu menafikan gelombang hijau atau gelombang PN bakal menenggelamkan PH di banyak DUN meskipun mungkin tidak menjadi Kerajaan Negeri.

Dengan kejayaan mengalahkan PH dan BN di 6 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu kekuatan PN tidak boleh dipandang ringan. Jika dalam keenam parlimen tersebut PN mampu menguasai DUN di dalamnya, maka mereka dengan mudah mempunyai 18 kerusi DUN dari 56 kerusi keseluruhan DUN Selangor. Jumlah itu menghampiri 1/3 Ahli Dewan Negeri.

Keterujaan berkenaan menyebabkan pemimpin PN mencanangkan pelbagai strategi dan slogan untuk menjamin kemenangan yang lebih besar.

Pakar strategi Bersatu secara tergesa gesa menambah rencah kepada formula kemenangan PN dengan mencalonkan bekas MB Selangor pada 2014 – 2018 Datuk Seri Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar (MB) melawan anak didiknya Datuk Seri Amirudin Shari.

Pencalonan Azmin sudah tentu tidak dilakukan secara semberono. Pastinya dengan perancangan daripada kem Azmin dan gerakan berstrategi bekas pemimpin PKR itu.

Azmin yang terkenal dengan kelicikan berpolitik dan membawa keluar lebih 10 Ahli Parlimen bersamanya sehingga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020 pasti telah memperkukuhkan pengaruhnya di dalam Bersatu sehingga parti itu hanya ada calon tunggal bagi jawatan MB Selangor.

Hal itu dianggap pemerhati politik sebagai kurang selamat memandangkan Azmin yang dianggap legenda sebelum ini baharu sebulan lalu dikalahkan oleh Amirudin, biarpun PN berkempen di banyak tempat dalam limpahan kewangan.

Bagi sekutu utama PN, iaitu Pas, Azmin biar pun mungkin mampu mempertahankan DUN Bukit Antarabangsa namun tidak begitu meyakinkan untuk mengambilalih pentadbiran Selangor.

Sebabnya bukan sahaja beliau kalah berhadapan Amirudin, tetapi juga era pentadbiran Azmin beliau gagal memperkenalkan skim bantuan baharu kepada rakyat, hanya menyambung dan memperbaiki skim yang telah diasaskan oleh MB Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sebaliknya, Amirudin berjaya menunjukkan contoh cemerlang dengan melakukan penambahan bantuan dan melaksanakan bantuan era pandemik Covid 19 serta terkini Jelajah Ehsan Rakyat menjual barangan keperluan harian dengan harga subsidi.

kelemahan Azmin menyebabkan Pas mencalonkan pemimpin berpotensi parti itu Dr Yunus Khairi sebagai MB. Pencalonan itu berikutan Yunus berjaya memenangi kerusi parlimen Kuala Langat, kubu kuat PKR pada PRU lalu.

Ketidaksenangan Pas dengan pencalonan Azmin terserlah dalam kenyataan Bendahari Pas Pusat, Iskandar Abdul Samad yang juga pemimpin utama Pas Selangor.

“Respon saya kepada berita tersebut ialah terlalu awal untuk menamakan calon menteri besar dan terdapat ramai calon lain yang juga layak,” katanya.

Selain itu, Pas juga tidak yakin Kerajaan Perpaduan yang mula membongkar skandal pemimpin PN tidak akan menyangkut Azmin. Malah skandal video kabur Azmin 4 tahun lalu turut masih dimainkan oleh para penentang beliau menuju PRN.

Oleh itu, daripada menyukarkan Pas mempertahan Azmin maka pilihan lebih bijak ialah mengenengahkan calon daripada parti tersebut.

Situasi PN di Selangor akan amat menarik dalam mingu minggu akan datang. Biar pun bermula garang namun sedikit demi sedikit gabungan itu dilanda masalah terutama melibatkan Azmin dan para penyokongnya di Selangor.

Dengan 2 calon MB dan penyokong Pas yang biasanya akan melakukan undi protes sekiranya calon mereka tidak diangkat sebagai MB sebagaimana berlaku ketika parti itu bertahaluf siyasi bersama PKR, maka diramalkan peluang PN untuk menang di Selangor akan tergugat.

BACA JUGA Sesi bertanya soalan sejam kepada PM dibenar di Dewan Rakyat