Pencerahan jalan ‘Madani’ dan ‘Rahmatan lil alamin’
Persoalan idea-idea besar lazimnya membosankan mereka yang mempunyai pemikiran sempit, jiwa kecil dan sarat dengan kebencian. Golongan ini lebih gemar menyemai permusuhan dan kebebalan daripada untuk menyubur budaya ilmu.
Ada juga kelompok lebih senang memikirkan keperluan perut dan bawah perut daripada memikirkan idea dan falsafah yang mendasari kehidupan mereka.
Idea ‘madani’ dan ‘rahmatan lil alamin’ akan juga mengalami masalah yang sama jika dikongsi oleh pemilik jiwa yang rosak dan lemah daya pemikirannya. Semoga negara ini tidak terlepas kepada kelompok sebegini rupa.
Apabila Anwar Ibrahim mengemukakan kembali idea ‘masyarakat madani’, dilihat seolah-oleh idea ‘rahmatan lil alamin’ sudah ditinggalkan atau tertinggal. Istilah ‘rahmah’ seakan tinggal hanya pada menu, bakul atau sebagai runcitan atau tidak penting.
Idea-idea besar sesekali tidak boleh dimilik peribadi oleh sesiapapun. Idea-idea besar adalah ilham dan anugerah Tuhan kepada sesiapa yang berusaha mencari kehidupan yang lebih baik dan sempurna.
Meski Anwar antara individu awal di tanah air yang memperkenalkan idea ‘masyarakat madani’ pada tahun-tahun 90an, ia bukanlah satu idea baru. Ia adalah proses kesinambungan peradaban yang melewati garis zaman dan geografi.
Ini adalah sejarah proses manusia berfikir dan bermasyarakat sejak nabi Adam lagi.
Begitu juga dengan idea ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa oleh Mujahid Yusuf dan kemudiannya dijadikan dasar kepada kerajaan Malaysia sewaktu dipimpin Mahathir Mohamad bukanlah suatu baru.
Sejarahnya, idea ‘rahmah’ dan juga ‘rahmatan lil alamin’ muncul sewaktu Pas berhadap krisis dalamannya pada 2013 hingga 2015. Ketika itu, timbul serangan dalaman parti dengan melabel, menghukum hingga kepada ke arah takfiri kepada golongan yang tidak sehaluan.
Sebagai tindakbalas serangan tersebut, cadangan agar diwujudkan pendekatan politik rahmah (bukan marah-marah) dan inklusif. Akhirnya pendekatan tersebut telah menjadi sebahagian kepada kerangka pembentukan AMANAH sebagai sebuah wadah perjuangan politik.
Mujahid menggunakan kedudukannya sebagai anggota kabinet bagi menjadikan ‘Rahmatan lil alamin’ sebagai dasar kerajaan yang diperkenan Majlis Raja-Raja. Ini adalah cetusan intelektual yang memiliki kekuatan dan kebijaksanaan politik.
Istilah ‘rahmatan lil alamin’ tidak ditemui sepanjang hampir tiga dekad (1984-2002) ucapan dasar presiden Pas. Saya mungkin terlepas pandang semasa membuat penelitian (maafkan jika ada). Itu bukan bermakna idea tersebut tidak ada dalam perjuangan Pas. Ia tetap ada tetapi dalam bentuk yang tersirat.
Sekurang-kurangnya ada tiga fungsi kewujudan ‘rahmatan lil alamin’ dalam bermasyarakat dan bernegara.
Pertama rahmatan lil alamin sebagai prinsip kepimpinan yang mampu memahami realiti kemajmukan masyarakat khususnya di Malaysia. Oleh itu, pemimpin mestilah kompeten, berintegriti tinggi dan taqwa.
Kedua, rahmanat lil alamin sebagai misi dan juga hasil daripada kualiti pemimpin menerajui masyarakat dan juga negara.
Ketiga, rahmatan lil alamin boleh juga diangggap sebagai slogan politik yang memiliki unsur keagamaan dengan kesan emosi yang kuat. Istilah ini pada realitinya sudah sebati dalam pemikiran masyarakat dan menjadi budaya kehidupan masyarakat. Ia bukanlah suatu yang asing.
Sewaktu AMANAH ditubuhkan pada 2015, perlembangaannya jelas mengariskan dasar dan tujuan parti itu. Enam dasar dan tujuan AMANAH ditubuhkan antaranya adalah untuk mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua (rahmatan lil alamin).
Ringkasnya, idea ‘madani’ itu sudah dimasukkan pada peringkat awal penubuhan AMANAH. Menariknya, istilah ‘madani’ dan ‘rahmatan lil alamin’ disatukan dalam satu ayat yang menjadi dasar kepada AMANAH.
Sejarah pembentukan AMANAH tidak dapat dipisahkan dengan sejarah yang berlaku dalam Pas itu sendiri. Bahkan sejarah Pas itu sendiri tidak boleh dipisah-pisahkan dengan sejarah politik tanah air yang melibatkan seteru dan regu politiknya. Banyak pelaku dan faktor yang berperanan dalam membentuk rupa wajah AMANAH. Termasuk Pas itu sendiri.
AMANAH adalah ‘raison d ’tre’ kepada pembentukan Pakatan Harapan (PH) dan perubahan pendekatan Pas selepas itu. Bagi mengetahui kekuatan PH, harus dilihat sejarah pembentukannya.
Perlembagaan AMANAH turut mengangkat semangat rahmatan lil alamin dan madani
Memahami sejarah tidak boleh menjuzuk-juzuk zaman dan keadaan masyarakat ketika itu. Semuanya mempunyai signifikan tertentu dalam menentukan suasana semasa.
Pas juga tidak wajar untuk memperlecehkan idea ‘masyarakat madani’ dan ‘rahmatan lil alamin’ yang dibawa oleh seteru politik mereka sebagai suatu retorik politik. Ini kerana idea-idea yang muncul dalam gelombang politik semasa adalah tindak balas politik secara alamiah.
Seminggu selepas majlis peluncuran idea ‘masyarakat madani’ oleh Anwar di Putrajaya, Pas melalui presidennya telah membentangkan idea ‘masyarakat madani’ mengikut tafsiran mereka.
Dengan itu, idea ‘masyarakat madani’ yang dibawa oleh Anwar dan yang termaktub dalam perlembangaan AMANAH dibahas lebih luas dalam masyarakat.
Namun jika kita rujuk dua dekad yang lalu, idea ‘masyarakat madani’ sudah disyarahkan oleh Pas.
Pada tahun 2003, Lajnah Tarbiah & Latihan Kepimpinan Pas Kedah dengan kerjasama Pustaka Mahabbah telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk ‘Masyarakat Madani Alaf Baru’ yang ditulis oleh Ustaz Fadzil Mohd. Noor. Buku kecil yang mengandungi 52 halaman adalah bukti perkongsian keintelektualan antara Ustaz Fadzil dengan Anwar. Presiden Pas itu merujuk antaranya dari tulisan Yusuf Qardawi, Osman Bakar dan juga Anwar.
Di dalam buku tersebut, Ustaz Fadzil menyebut nama sarjana-sarjana termasuklah Ibn Khaldun, al Farabi hingga kepada Sheikh Abduh, Syed Naquib al Attas dan termasuklah Anwar yang membicarakan idea ‘masyarakat madani’ secara lebih meluas dan mendalam.
Idea negara ideal al-Farabi
Ustaz Fadzil juga pernah menyebut ‘masyarakat madani’ sepintas lalu dalam ucapan terakhirnya di muktamar Pas kali ke 48 pada tahun 2002.
Di dalam buku tersebut, Ustaz Fadzil mengatakan bahawa prinsip asas masyarakat madani juga telah termaktub dalam perlembagaan Pas. Memang secara literal tiada tercatat istilah ‘masyarakat madani’ dalam perlembagaan Pas.
Ustaz Fadzil mengatakan dua tujuan penubuhan Pas iaitu ‘memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebagai sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan ‘mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara’ itu menggambarkan makna masyarakat madani yang dibawa oleh Anwar sendiri.
Renungkanlah dengan fikiran terbuka dan jiwa merdeka.
BACA JUGA: Masyarakat madani dari pandangan Ustaz Fadzil Noor