PM: Cari jalan bantu kurang beban golongan susah, elak keluar wang KWSP

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mencari jalan untuk mengurangkan beban golongan kurang berkemampuan berbanding membenarkan mereka mengeluarkan tabungan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri berkata kerajaan bimbang langkah membenarkan pengeluaran wang KWSP bagi mereka yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 menyebabkan kehidupan mereka selepas bersara terjejas.

“…KWSP ini telah dijelaskan, dulu kita minta dikeluarkan, jadi yang tinggal RM10,000, RM5,000 yang hendak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita, pencen empat tahun lagi apa nak jadi?

“Saya ingat liputan itu biar adil, kalau ikut saya wang dia biarlah dia nak keluar (tapi) pencen, anak macam mana?…betul kalau ada wang, kalau wang tidak ada?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil: Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor, Bestari Jaya pada Khamis.

Terdahulu ditanya mengenai Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan memberikan tumpuan kepada usaha untuk menangani defisit, keterjaminan makanan dan kos sara hidup rakyat.

BACA JUGA: Belanjawan 2023: Dasar seimbang tarik pelabur, lindungi miskin tegar – PM

Â