PRN Negeri Sembilan: ‘Sedia beri nafas segar politik tawan hati pengundi’

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan bersedia menawarkan calon wakil rakyat daripada sayap itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketuanya, Mohd Hanis Alimin berkata, calon muda amat penting untuk diangkat pada PRN kali ini, memandangkan landskap politik tanah air kini berubah yang menyaksikan anak muda antara penentu undi kemenangan sesebuah parti.

Beliau berkata, peletakan calon muda juga sebagai persediaan untuk memberi pendedahan kepada generasi baharu daripada segi meraih pengalaman kepemimpinan dan pentadbiran.

”Kami sedia menawarkan diri dan menggalas tanggungjawab sebagai calon PRN bagi menawarkan khidmat kepada rakyat terutamanya dalam menyantuni golongan muda.

”Ia juga sekali gus dapat membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi, seterusnya menggalas cabaran golongan itu pada masa kini.

”Tentang kerusi yang ingin diberikan, kami memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengulas demikian apabila ditanya mengenai persiapan sayap pemuda parti termasuk kemungkinan meletakkan calon belia bagi menghadapi PRN nanti.

Mengulas lanjut, Mohd Hanis berkata, meletakkan calon anak muda nyata memberi nilai tambah dan nafas segar dalam naratif politik baharu di negara ini.

Beliau berkata, pemuda PH dan AMANAH dilihat mampu menawan hati pengundi dengan cara menyantuni masyarakat dan semua lapisan terutamanya anak muda.

”Ia adalah menerusi program dan inisiatif kerajaan negeri seperti permainan e-sukan, program tani anak muda, peluang pembelajaran anak muda dan juga aktiviti sukan.

”Kami (Pemuda AMANAH) bersedia menawarkan calon daripada individu mempunyai latar belakang akademik yang baik, profesional dan juga seorang aktivis masyarakat,” ujarnya lagi.

BACA JUGA 10 bukti pencapaian kerajaan PH Negeri Sembilan wajib rakyat tahu