Akaun TikTok ‘walaun’ tabur fitnah cecah lebih 1 juta ‘likes’

Satu akaun TikTok penyokong pembangkang yang digelar ‘walaun’ dan ‘walauntit’ menabur fitnah terhadap Kerajaan Perpaduan dilihat sudah mencecah lebih 1 juta ‘likes’.

Walaupun berslogankan, “Hanya yang tepat, sahih, lagi berfakta. Jangan marah, benda betul!” tetapi isinya dilihat cuba menghasut orang ramai dengan istiqamah memburukkan Kerajaan Perpaduan.

Penyampai untuk setiap siri klip video ringkas itu pula bukan sahaja terdiri daripada lelaki bahkan perempuan muda termasuk berlatar belakangkan pendidikan dari universiti tempatan.

Ekoran itu, akaun TikTok yang mempunyai lebih 130,000 pengikut tersebut juga dianggap sebagai platform penyokong pembangkang kaum Hawa yang digelar ‘walauntit’ untuk memfitnah.

Antara topik yang dibawakan seorang ‘walauntit’ termasuklah menyentuh tentang pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri.

“Nak sakau duit pun tanya Nurul Izzah,” katanya.

Propaganda pembangkang dengan ramuan fitnah menerusi TikTok sejak tahun lalu diakui banyak penganalis dan badan kajian politik sebagai penyumbang kepada keputusan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam hal berkaitan, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria semalam memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengakui memfitnah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Pada kempen PRU15 November lalu, ADUN Gunong Semanggol itu memfitnah Anwar membawa agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini serta menyokong agenda komunis.

Bagaimanapun, penaung Maahad Thafiz Al-Quran Lid Da’wah Li Imamah (MTQDI) di Lenggong itu menarik balik semua fitnah dan tuduhan yang telah dilemparkannya.

Namun, kenyataan mengaibkan daripada Razman itu dilihat telah menjadi antara bahan kempen pembangkang menyerang PH pada PRU15.

Ramai pengundi kemudiannya tampil mengaku menerusi media sosial bahawa mereka sebelum ini telah terperdaya dengan rantaian fitnah terhadap Anwar dan PH sehingga bertindak mengundi Perikatan Nasional (PN).

 

BACA JUGA Akui memfitnah, Pesuruhjaya Pas Perak mohon maaf kepada PM Anwar