Bantuan zakat pendidikan, kebajikan di Negeri Sembilan cecah RM8.5 juta

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengucapkan tahniah kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) atas inisiatif keprihatinan bantuan zakat Prihatin Ekonomi dan Keperluan Asas Asnaf (PEKA).

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, bantuan zakat PEKA bagi institusi pendidikan dan kebajikan itu berjumlah keseluruhannya RM8,505,500.

“Dana berjumlah RM4,220,000 telah disalurkan kepada pihak sekolah kerajaan dan swasta yang terpilih di seluruh Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu turut memaklumkan bahawa MAINS telah menyumbang sejumlah RM240,000 kepada Pusat Jagaan dan Latihan OKU, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan.

Dalam masa sama, jelasnya, bantuan khas sebanyak RM845,500 disalurkan untuk meringankan beban kewangan guru-guru KAFA Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)dalam situasi kos sara hidup yang semakin meningkat kini.

“Turut menerima sumbangan berjumlah RM1,180,000, Penuntut Institut Pengajian Tinggi Luar dan Dalam Negara serta Asnaf Fakir dan Miskin MAINS yang menerima sumbangan bantuan khas berjumlah RM2,020,000,” ujarnya.

Tambah Aminuddin lagi, PEKA merupakan program yang amat baik kerana telah mengangkat manfaat sumber zakat dalam menangani masalah kemiskinan, memperbaiki keadaan ekonomi serta menjadi kaedah dakwah yang berkesan.

BACA JUGA 10 bukti pencapaian kerajaan PH Negeri Sembilan wajib rakyat tahu