Keprihatinan Anwar terhadap Selangor, mahu UNISEL jana perubahan

Oleh DR MOHAMMAD REDZUAN OTHMAN

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini di dalam Dewan Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya bersempena Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil yang akan disampaikan oleh tetamu paling istimewa, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 dengan tajuk, Reformasi Pendidikan Untuk  Kesejahteraan Masa Depan Malaysia.

Walaupun sudah lebih dua bulan dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10, rasanya masih belum begitu terlewat bagi seluruh warga UNISEL dan para hadirin mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau ini.

Untuk itu, mari kita bersama-sama memberikan tepukan paling gemuruh kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Hari ini merupakan hari yang bahagia dan bersejarah bagi UNISEL kerana buat julung-julung kalinya universiti ini dikunjungi oleh Perdana Menteri Malaysia. Istimewanya kerana, ini merupakan kunjungan rasmi beliau yang pertama ke sebuah universiti di Malaysia dan seterusnya menyampaikan syarahan kepada para hadirin, pelajar dan staf UNISEL.

Untuk makluman para hadirin yang baru pertama kali sampai di UNISEL Kampus Bestari Jaya, izinkan saya maklumkan secara ringkas tentang UNISEL.

UNISEL merupakan Universiti milik kerajaan negeri Selangor, ditubuhkan pada tahun 1999 dan merupakan unversiti pertama milik kerajaan negeri yang ditubuhkan di Malaysia.

UNISEL mempunyai tiga kampus, Kampus Bestari Jaya dengan keluasan 1000 ekar, Kampus Shah Alam dan Selangor Business School, Petaling Jaya yang menampung sekitar 10,000 orang pelajar.

UNISEL adalah sebuah universiti dalam erti kata sebenar yang mempunyai lima fakulti dan dua pusat. UNISEL menyediakan kemudahan lengkap untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan kelengkapan merangkumi kemudahan untuk semua Fakulti dan Pusat, 44 blok Kolej Kediaman, Masjid, Pusat Sukan dan lainlain kemudahan bagi menampung sekitar 10,000 orang pelajar.

Sepatutnya, Syarahan Ulung Siddiq Fadzil ini diadakan pada Oktober tahun lepas. Namun begitu, disebabkan Pilihan raya Umum ke-15, program yang dirancang ini terpaksa ditangguhkan.

Alhamdulillah, ada juga hikmah penangguhannya kerana syarahan pada hari ini bukan lagi disampaikan oleh Ketua Pembangkang tetapi Perdana Menteri Malaysia.

Saya pasti ramai yang bertanya apa istimewanya UNISEL sehingga dalam kesibukan YAB Perdana Menteri menangani pelbagai permasalahan yang dihadapi negara selain mengunjungi negara Indonesia, Brunei dan Singapura, UNISEL masih menjadi destinasi pilihan yang dikunjungi Dato’ Seri.

Betapa sibuk dan padatnya jadual beliau, saya difahamkan sebaik-baik sahaja program di sini berakhir, Dato’ Seri Anwar akan terus berangkat ke Bangkok, Thailand bagi melakukan lawatan rasmi.

Untuk makluman para hadirin, di bawah pentadbiran saya sejak tahun awal 2016, ini bukan kali pertama Dato’ Seri Anwar berkunjung ke UNISEL.

Sebelum ini Dato’ Seri Anwar telah hadir sebanyak tiga kali ke UNISEL. Kali Pertama, pada 17 Oktober 2018 bagi menyampaikan pidato dalam Program Meet Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dato’ Seri datang ke UNISEL selepas dibebaskan dari penjara dan menjalani rawatan di Istanbul, Turki, lima hari setelah dipilih sebagai wakil rakyat Parlimen Port Dickson serta dua hari selepas mengangkat sumpah di Dewan Rakyat.

Kali kedua ialah pada 18 Februari 2019 apabila beliau menyampaikan Syarahan Darul Ehsan bertajuk “Ke Arah Pendidikan Bersepadu Dalam Era Malaysia Baharu”.

Kali Ketiga pada 17 Februari 2022 bagi menyampaikan Syarahan Perdana bersempena Pelancaran Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil dan Kursi Siddiq Fadzil yang diadakan di Kampus Shah Alam.

Kunjungan Dato’ Seri Anwar ke UNISEL pada hari ini bagi menyampaikan Syarahan Ulung bolehlah dikaitkan dengan hubungan erat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang sudah terjalin sejak dari zaman mahasiswa mereka lagi sehinggalah Almarhum menghembuskan nafas terakhir pada 31 Ogos 2021 yang lalu.

Dua hari selepas pemergian Dr. Siddiq Fadzil, saya bersama-sama dengan beberapa orang rakan telah dipanggil oleh Dato’ Seri Anwar ke pejabat beliau.

Dato’ Seri Anwar secara khusus meminta supaya sumbangan dan pemikiran Almarhum Siddiq Fadzil diberikan pengiktirafan dan dimartabatkan menjadi agenda besar yang dimasyarakatkan.

Pemikiran

UNISEL secara khusus diminta memainkan peranan bagi mengangkat pemikiran Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil ini sehingga mampu menjadi pemikiran yang memcorakkan pemikiran masyarakat pada masa hadapan.

Khazanah pemikiran yang ditinggalkan oleh Dr Siddiq Fadzil amat tinggi nilainya dan perlu dikembangkan supaya dapat dihayati oleh masyarakat. Umat Islam dan masyarakat Melayu boleh berbangga dengan tokoh-tokoh ilmuwan seperti HAMKA, Zaaba, Ungku Abdul Aziz dan lain-lain.

Pemikiran dan sumbangan Siddiq Fadzil dalam bidang keilmuwan juga boleh diletakkan sebaris dengan tokoh-tokoh ilmuwan tersohor ini melalui usaha yang dilakukan.

Menariknya, pemikiran dan perjuangan Almarhum Dr Siddiq Fadzil banyak dikongsi oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Almarhum amat diingati, dihormati dan dihargai oleh Dato’ Seri Anwar.

Selain itu, juga penting persahabatan yang kental antara kedua-duanya yang tidak pernah surut, terutamanya ketika Dato’ Seri menghadapi zaman-zaman sukar.

Keilmuan dan pemikiran Almarhum Dr Siddiq Fadzil amat disanjung oleh Dato’ Seri Anwar. Apresiasi terhadap keilmuan Almarhum diungkap dalam temu bual beliau dengan akhbar Sinar Harian sempena Pelancaran Kerusi Siddiq Fadzil dengan menyatakan: “Siddiq Fadzil ini seorang ilmuwan yang mengakar kepada bumi, caranya menguasai ilmu sangat mantap dan menakjubkan. Walaupun saya ditonjolkan ke depan, tetapi pemikirnya adalah Siddiq Fadzil”.

Hubungan erat inilah yang menjadikan UNISEL dengan saranan daripada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Ketua Pembangkang supaya ditubuhkan Institut Pemikiran dan Kepemimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF). Institut ini ditubuhkan dan rasmikan pada 17 Februari 2022 di UNISEL Kampus Shah Alam oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut di hadiri oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebagai langkah awal bagi menggerakkan IPKSF, Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor telah memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta bagi melengkapkan penubuhan Institut ini.

Ketika dilancarkan, Dato’ Menteri Besar juga menjanjikan tambahan sebanyak RM4 juta lagi bagi membolehkan IPKSF berkembang pesat dan mencapai matlamat memaksimunkan pemahaman masyarakat terhadap sumbangan pemikiran Almarhum Prof, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Pada hari ini, selain menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil, Dato’ Seri Anwar juga akan merasmikan penubuhan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil yang plaknya akan ditandatangani sebentar nanti. Perpustakaan Peringatan ini ditempatkan di salah satu sayap di Perpustakaan Utama UNISEL Kampus Bestari Jaya dan akan menempatkan semua khazanah Siddiq Fadzil.

Ini merangkumi buku, makalah, kertas kerja, catatan, rakaman dan lain-lain. Selain itu, Perpustakaan Peringatan ini juga akan dilengkapi dengan bilik mesyuarat, dewan mini, dewan pameran dan sebagainya.

Sejak berlakunya peralihan kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan keprihatian dan memberi komitmen terhadap perkembangan UNISEL yang perlu menjadi model kepada pendemokrasian pendidikan.

Dato’ Seri meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat universiti milik kerajaan negeri ini terus bergerak maju menjadi institusi yang cemerlang dengan peluang pendidikan diberikan kepada semua golongan masyarakat.

Bagi mencapai matlamat tersebut, Dato’ Seri Anwar secara peribadi menghendaki saya memimpin Universiti ini bagi memenuhi aspirasi beliau mencapai sasaran tersebut. Saya dilantik menjadi Presiden dan Naib Canselor UNISEL tujuh tahun yang lalu, pada awal Januari 2016. Tetapi ketika dilantik Dato’ Seri Anwar telah hampir setahun dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh.

Warkah Sungai Buloh

Pada bulan November 2015, sebulan sebelum saya secara rasmi dilantik memegang jawatan sebagai Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengutuskan sepucuk surat yang ditulis di atas kertas kajang sepanjang enam muka surat penuh yang saya namakan sebagai WARKAH DARI SUNGAI BULOH.

Surat yang umpama sebuah kertas kerja dengan rujukannya ditulis menggunakan bahasanya yang tinggi dengan tulisannya seakan-akan font Bradley Hand (tulisan bersambung).

Bagaimana surat ini boleh dibawa keluar daripada kawalan ketat penjara saya tidak pasti. Warkah Dari Sungai Buloh ini yang menghuraikan dengan panjang lebar pelbagai saranan dan panduan bagi memajukan UNISEL berdasarkan pengalaman serta penglibatan beliau dalam dunia pendidikan.

Warkah dimulakan dengan ungkapan yang menaruh harapan supaya saya “…memekarkan suasana kampus UNISEL dari sebuah universiti yang lazim difahami, kepada pusat kecemerlangan ilmu yang mampu menggerak dan menjana perubahan”. Warkah ini merupakan suatu inspirasi yang sentiasa saya rujuk untuk dijadikan panduan dalam menerajui UNISEL.

Sebagai usaha memekarkan budaya ilmu sebagaimana yang disarankan oleh Dato’ Seri Anwar, beberapa orang tokoh ilmuwan telah dilantik sebagai Profesor Pelawat, Profesor Adjung sebagai pengiktirafan di atas sumbangan besar mereka dalam bidang pendidikan dan keilmuwan.

Dato’ Seri Anwar secara khusus mencadangkan supaya Siddiq Fadzil dilantik menjadi Profesor Adjung di UNISEL dengan seberapa segera sebaik sahaja saya dilantik menjadi Presiden dan Naib Canselor UNISEL.

Sejak dilantik sebagai Profesor Adjung, sehingga menghembuskan nafas terakhir, Almarhum Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil sering menyampaikan syarahan dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kelompok staf di universiti ini, di samping turut menyuntik semangat dan idealisme kepada pelajar sehingga ke penghujung hayatnya.

Program terakhir Almarhum adalah dengan UNISEL apabila menyampaikan ucaptama bertajuk “Melestarikan Kebitaraan Mahasiswa Budiman”, pada 17 Julai 2021 bersempena Seminar Mahasiswa Budiman Peringkat Kebangsaan anjuran UNISEL beberapa minggu sebelum meninggal dunia.

Warkah dari Sungai Buloh juga turut menekankan supaya saya menyuburkan budaya ilmu di UNISEL. Bagi menyahut seruan Dato’ Seri Anwar untuk tujuan ini, UNISEL telah memperkenalkan Syarahan Perdana, Syarahan Profesor, Syarahan Darul Ehsan, Syarahan Khas dan sebagainya.

Umpamanya, berikutan kembalinya ke rahmatullah tokoh ilmuwan Islam yang terkenal, pada 4 Oktober 2022, “Wacana Pemikiran Almarhum Prof. Dr. Yusuf AlQaradhawi” telah diadakan manakala bagi membolehkan warga kampus memahami tentang Madani, UNISEL merupakan institusi pertama yang mengadakan “Seminar Madani: Visi Dan Kerangka Dasar Reformasi” minggu lepas pada 2 Februari dengan dihadiri semua pengurusan dan pentadbiran UNISEL.

Pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-11, 2016 UNISEL telah menganugerahi Dr. Ahmad Totonji Ibrahim Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Sosial. Beliau merupakan rakan perjuangan Dato’ Seri Anwar di peringkat antarabangsa melalui The International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang berpejabat di Washington DC dalam memperjuangkan kemajuan pendidikan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Sempena Istiadat Konvokesyen Univeristi Selangor (UNISEL) Kali Ke-14 pada tahun 2019, Dr. Merve Safa Kavakci yang ketika itu merupakan Duta Turkiye ke Malaysia telah dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Sains Sosial.

Dr. Marve merupakan tokoh yang rapat dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan yang juga merupakan rakan karib Dato’ Seri Anwar yang amat prihatin dengan perkembangan beliau.

Bagi membolehkan amanah melahirkan pelajar yang boleh dijadikan model sebagaimana yang disarankan, UNISEL telah menjenamakan proses pembentukan pelajarnya menerusi tagline pelajar ‘Budiman’ yang mengambil pandangan dan saranan yang diberikan oleh Almarhum Siddiq Fadzil.

Menurut Almarhum, “budiman” merupakan sebuah konsep yang kuat dan padat dengan nilai-nilai keunggulan watak, berilmu dan berakhlak, beragama dan bersusila, bijaksana dan prihatin.

Bagi Dato’ Seri Anwar pula harapan supaya generasi pelajar UNISEL mencapai matlamat ini turut diungkap oleh beliau dalam Warkah dari Dari Sungai Buloh yang menitipkan: “Didiklah mereka dengan rasa kasih dan hikmah, mengenal jati diri, berpaksi pada akidah dan berpaut pada budaya luhur, ibarat ungkapan Tawfiq Ismail “mengakar ke bumi dan menggapai ke langit”.

Pada pagi ini Dato’ Seri Anwar akan menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil sebagai Perdana Menteri Malaysia. Saya yakin sebagai Perdana Menteri, idealisme YAB Dato’ Seri untuk memartabatkan bidang pendidikan ke arah yang lebih cemerlang akan terus diperjuangkan.

Prihatin

UNISEL merasa amat terhormat apabila Dato’ Seri Anwar memperlihatkan keprihatinannya terhadap universiti ini semasa berada di dalam penjara, ketika menjadi Ketua Pembangkang dan kini menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Kami amat berharap agar YAB Dato’ Seri terus membantu dan menyokong UNISEL mengorak langkah dalam usaha melahirkan generasi pelajar yang mempunyai daya fikir yang utuh dan memiliki jati diri yang terpuji.

Pada hari ini juga, sempena kunjungan YAB Dato’ Seri Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia selain menyampaikan Syarahan Ulung dan merasmikan penubuhan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil, Dato’ Seri juga akan melancarkan Yayasan UNISEL.

Penubuhan yayasan ini yang baru sahaja mendapat kelulusan, bertujuan bagi membantu pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan meneruskan pengajian mereka di UNISEL.

UNISEL merupakan salah sebuah universiti yang menawarkan yuran rendah dengan kemudahan yang lengkap sebagai sebuah universiti.

Yayasan ini diharap dapat membantu hampir 60 peratus pelajar UNISEL yang merupakan dalam kalangan keluarga B40. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon bagi para dermawan yang hadir bersama-saa pada pagi ini agar menyumbang kepada tabung ini yang dipengerusikan oleh Profesor Dato’ Dr. Mohd Nur Manuty.

Akhir kata, saya mewakili seluruh warga UNISEL sekali lagi mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas kesudian menyampaikan syarahan pada kali ini, walaupun mempunyai jadual yang sangat padat.

Terima Kasih kepada YAB Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek di atas sumbangan bagi menjayakan program pada pagi ini.

Terima kasih juga kerja warga kerja Institut Darul Ehsan yang turut membantu dan kepada semua yang bertungkus-lumus bagi menjayakan syarahan yang amat bersejarah ini.

Semoga usaha kita pada hari ini dapat membantu untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan mengangkat martabat pendidikan di negara ini ke satu tahap yang membanggakan.

  • Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman merupakan Presiden dan Naib Canselor UNISEL. Artikel ini merupakan teks ucapan aluan beliau dalam program Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di UNISEL pada 9 Februari 2023.