Lebih 5,000 usahawan mikro Negeri Sembilan dapat manfaat TUN, TUNS PLUS
Pendapatan peniaga kecil di Negeri Sembilan, berjaya ditingkatkan menerusi inisiatif Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) dan TUNS PLUS yang diperkenalkan kerajaan negeri.
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKKNNS), Rusmimah Mat Derus berkata, sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2019, seramai 82.9 peratus peniaga kecil berjaya meningkatkan pendapatan.
“Kajian yang dijalankan mendapati 82.8 peratus peniaga kecil berjaya menawarkan peluang pekerjaan.
“Ini menunjukkan inisiatif TUNS bukan sahaja menawarkan bantuan kewangan dan peralatan kepada peniaga kecil, malah merangsang ekonomi setempat dengan menawarkan peluang pekerjaan,” dipetik Negeri Kita.
TUNS merupakan bantuan pembiayaan secara geran berjumlah RM3,000 yang disasarkan kepada penjaja dan peniaga kecil di Negeri Sembilan.
Objektif utama penubuhan TUNS bertujuan supaya lebih ramai golongan usahawan pada skala ini berjaya diwujudkan melalui bantuan tersebut.
TUNS juga secara tidak langsung dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan, di samping membantu merangsang pertumbuhan ekonomi.
Inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada 5,149 usahawan mikro dari 2019 sehingga 2022, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM15 juta dalam tempoh empat tahun.
BACA JUGA Bantuan zakat untuk pendidikan, kebajikan di N Sembilan cecah RM8.5 juta