Perangi ‘pemangsa’, suspek kes amang seksual mesti digantung tugas

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu menegaskan bahawa ‘pemangsa’ kes amang seksual mesti diperangi dengan dikenakan tindakan tegas.

Menurutnya, jenayah yang melibatkan seorang doktor perubatan di Hospital Kemaman itu sebagai sangat serius apatah lagi individu berkenaan mempunyai akses dengan masyarakat terutama kanak-kanak.

“Saya menggesa agar suspek yang terlibat turut digantung tugas sehinggalah kes ini selesai,” gesanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, seorang doktor perubatan berusia 30 tahun ditahan polis Terengganu selepas dipercayai mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Wad Kanak-Kanak di Hospital Kemaman.

Tangkapan di bawah siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu mangsa pada malam, 8 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang menegaskan bahawa mangsa dan keluarga kanak-kanak itu perlu diberi perlindungan jika mahkamah mempertimbangkan rayuan tertuduh semasa permohonan jaminan.

“Saya menggesa agar mahkamah memberikan jaminan yang tinggi dengan syarat-syarat yang ketat seperti tidak dibenarkan berhubung dengan mangsa atau keluarga mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali,” ujarnya.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) itu juga berkata, kes amang seksual wajar diperangi habis-habisan dengan semua pihak mengambil tindakan yang paling serius dan tegas tidak kiralah ia dilakukan oleh “predator” berpangkat apa sekalipun.

“Tindakan keji seperti ini sangat merosakkan emosi dan masa depan kanak-kanak kita.

“Saya bersama KPWKM senantiasa komited memastikan keselamatan dan kebajikan khususnya kanak-kanak Malaysia terus diberikan keutamaan,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Keprihatinan Anwar terhadap Selangor, mahu UNISEL jana perubahan