Steven Sim, Kementerian Kewangan dan gejala penipuan atas talian

Penipuan dalam talian (online scams) bukan perkara baharu. Ia telah berlaku di seluruh dunia sejak lama dahulu. Media tempatan telah melaporkan kes-kes penipuan dalam talian ini sejak beberapa tahun lepas.

Pun begitu, peningkatan gejala scam di Malaysia akhir-akhir ini semakin berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Anehnya, jenayah kolar putih ini terus terjadi, malah semakin ramai mangsa terjerat dan mengalami kerugian, ada sehingga ratusan ribu ringgit.

Disebabkan itu, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong dalam kenyataannya baru-baru ini menegaskan usahanya untuk memerangi penipuan atas talian atau gejala scam ini daripada terus berleluasa.

Beliau menceritakan kisahnya membantu sepasang suami isteri yang hidup dalam kesusahan dan lebih malang lagi, mereka juga menjadi mangsa kepada penipuan scammer.

Pasangan suami isteri bernama Rizal dan Intan itu telah ditipu sebanyak dua kali ketika ingin membuat pinjaman peribadi. Situasi mereka ibarat jatuh ditimpa tangga.

Rizal yang bekerja sebagai rider Lalamove dengan gaji RM1,400 terpaksa mengikat perut menampung kehidupan di ibu kota.

Dengan gaji yang tidak seberapa itu, Rizal perlu membeli susu untuk bayinya yang masih kecil, membeli ubat untuk ibunya yang sakit, bayar sewa rumah sehinggakan beliau tidak cukup duit untuk membayar bil elektrik yang sudah tertunggak sehingga tujuh bulan.

Pada awalnya, Rizal ingin membuat pinjaman peribadi untuk membayar bayaran tertunggak dan memulakan perniagaan menjual makanan. Namun, disebabkan gaji yang tidak stabil, permohonannya telah ditolak oleh bank.

Dalam keadaan terdesak, Rizal terjumpa iklan pinjaman peribadi mudah lulus di Facebook dan Rizal pun terus buat permohonan sebanyak RM10,000. Ingatkan ada sinar baharu untuk hidup, tetapi malang nasibnya apabila ditipu oleh scammer tidak berhati perut.

Rizal diminta untuk membuat bayaran pendahuluan RM800 sebelum mendapat duit pinjaman itu. Apabila duit sudah dibayar, mereka terus hilang dan lesap tanpa khabar berita.

“Jumlah RM800 tu mungkin tak besar bagi ramai orang. Tapi buat Rizal dan Intan yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, duit RM800 tu memang satu kehilangan yang sangat besar.

“Jatuh terduduk si Rizal dan Intan,” kata Steven Sim dalam hantaran Facebook.

Rizal terkena sekali lagi dengan syarikat pinjaman berlesen yang memintanya menyerahkan kad ATM sebagai jaminan. Kononnya, kad itu akan dipulangkan dalam tempoh tiga hari selepas duit RM10,000 diberikan oleh syarikat pinjaman.

Malang sekali lagi, Rizal dan Intan ditipu apabila kad ATM yang diberikan lesap, duit pinjaman tidak dapat, syarikat pinjaman gagal dihubungi. Lebih teruk lagi, Intan selaku pemilik kad ATM dipanggil dan disiasat polis kerana akaun bank beliau telah disalahgunakan oleh scammer.

Steven Sim berkata yang beliau berminat dan ingin menguruskan sendiri kes-kes berkaitan scammer kewangan untuk mengetahui dengan lebih jitu kaedah yang digunakan oleh mereka.

“Semua kes saya buat perbincangan dengan pihak berkuasa antaranya Bank Negara Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), PDRM, SKMM dan sebagainya.

“Ketika mengendalikan kes Rizal dan Intan, saya juga bawa perkara ini kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Saudara Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri, Saudari Teo Nie Ching.

“Kami bincang bagaimana nak sekat iklan scammer di media sosial dan juga melalui Whatsapp, WeChat dan Telegram,” jelasnya.

Steven berbincang dengan Fahmi dan Teo Nie Chin bagi menyelesaikan isu scammer atau penipuan di atas talian

Menurut Steven lagi, kedua-dua Menteri dan Timbalan Menteri amat komited dalam usaha untuk memerangai scammer.

Bukan itu sahaja, Kementerian Kewangan juga sedang berbincang untuk menambah sumber kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan agar dapat beroperasi dengan lebih cekap.

“Solusi yang saya kemuka iaitu Security, Response & Recovery, Guarantee, Penalty sedang dibincangkan dengan kerjasama kementerian lain,” katanya.

Bagi kes Rizal dan Intan sebagai mangsa scam, ia telah diserahkan kepada pihak berkuasa. Dalam pada itu, Steven Sim juga telah menghulurkan sumbangan peribadi sejumlah RM10,000 untuk bantu keluarga muda ini keluar dari kebuntuan kewangan dan memulakan hidup baharu.

Bukan itu sahaja, Steven juga membantu Rizal untuk menyelesaikan bil api yang tertunggak, bantu membayarkan sewa rumah bagi tempoh enam bulan akan datang, dan beliau juga berikan modal untuk kedua anak muda itu buka gerai berniaga makanan.

Katanya, itu semua dari duit gaji bulan pertamanya sebagai timbalan menteri.

“Rizal tak perlu bimbang, bukan pinjaman ah long, bukan scammer, tak perlu bayar balik. Cuma saya minta, tiap-tiap hari sediakan satu pek makanan percuma beri kat siapa-siapa yang memerlukan yang datang ke gerai mereka.

“Buat macam ini untuk sebulan. Moga-moga Rizal dipermudahkan rezeki,” pesannya lagi.

Steven juga berpesan kepada semua untuk bersama-sama sebarkan mesej melawan scam. Jika anda syak berlaku kes scam, hubungi 997 dan buat laporan polis serta merta.

BACA JUGA Macam mana MP ini mempunyai 70 orang anak?