Tahap puas hati rakyat terhadap Anwar 68 peratus

Sebanyak 68 peratus rakyat berpuas hati dengan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menurut tinjauan Merdeka Center.

Kaji selidik melibatkan 1,209 pengundi dalam semua kategori etnik itu juga menunjukkan 83 peratus menerima Anwar sebagai Perdana Menteri manakala 54 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan.

Walau bagaimanapun, dalam tinjauan antara 26 Disember hingga 15 Januari itu, hampir 25 peratus daripada responden mengelak daripada memberikan pandangan mereka.

Dalam masa sama, 48 peratus daripada responden berpendapat Malaysia sedang bergerak ke arah yang betul berbanding dengan 20 peratus pada Oktober lalu.

Sejak Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengundang kekaguman orang ramai tidak terkecuali generasi muda.

Di media sosial, wujud trend reaksi anak muda secara berseloroh menyatakan mereka gagal menahan diri daripada mengagumi kepemimpinan Ahli Parlimen Tambun itu.

BACA JUGA Akaun TikTok ‘walaun’ tabur fitnah cecah lebih 1 juta ‘likes’