Zakat Selangor bantu keluarga kanak-kanak melecur letupan asid saluran paip
Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menghulurkan bantuan wang tunai dan makanan kepada keluarga kanak-kanak yang melecur akibat terkena bahan kimia berpunca dari letupan saluran paip sinki rumah di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, Serdang baru-baru ini.
LZS dalam kenyataan berkata keluarga tersebut merupakan salah satu asnaf di bawah Zakat Selangor.
“Kejadian malang yang menimpa dua beradik ini sungguh tidak terduga. Seorang daripada mereka cedera ringan manakala seorang lagi melecur teruk dan sedang mendapat rawatan di ICU (Unit Rawatan Rapi) bagi pemantauan rapi dari pihak hospital sehingga kulit anak ini pulih.
“Kami berkesempatan membuat panggilan video dengan salah seorang anak ini untuk memberi kata-kata semangat dengan harapan dapat mengurangkan trauma yang dilalui,” kata LZS dalam kenyataan pada Khamis.
Kenyataan itu berkata keadaan rumah keluarga mangsa juga belum selamat untuk diduduki kerana tercemar dengan bau asid yang masih kuat.
“Keluarga ini terpaksa menumpang di rumah mertua buat sementara waktu,” ujarnya.
LZS berkata pihaknya menyampaikan sumbangan wang tunai serta makanan kering untuk keluarga tersebut manakala bantuan perubatan akan disalurkan sebaik mereka keluar dari hospital.
“Kami mendoakan agar keluarga ini dikurniakan kesabaran di atas musibah yang menimpa serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan dua kanak-kanak melecur akibat terkena cecair dipercayai asid serbuk soda yang berpunca dari letupan saluran paip sinki rumah di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, Serdang pada 31 Januari lalu.