Pertumbuhan ekonomi 2022 8.7%, terbaik dalam dua dekad

Pertumbuhan ekonomi tahun 2022 yang mencatat 8.7% dianggap terbaik dalam lebih dua dekad.

Menurut kenyataan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 menunjukkan pemulihan keyakinan pengguna, perniagaan dan pelabur kepada ekonomi Malaysia.

Katanya, pencapaian pertumbuhan 8.7% itu disokong pengukuhan ekonomi pada suku keempat 2022 yang memperlihatkan pemulihan perbelanjaan dan pelaburan swasta, penurunan pengangguran serta pengukuhan mata wang ringgit.

“Dengan persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar, Belanjawan 2023 akan menggariskan strategi kerajaan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi serta keyakinan sektor swasta bagi meneruskan momentum pertumbuhan yang dicapai pada tahun 2022 demi kesejahteraan rakyat,” kata Anwar dalam satu kenyataan media Kementerian kewangan, malam tadi.

Pertumbuhan 2022 mengatasi pencapaian 3.1% pada 2021 dan ramalan sebelum ini negara akan mencatat pertumbuhan antara 6.5 – 7.0% tahun lalu.

Selain itu, Anwar juga menjelaskan Ringgit Malaysia turut menjadi indikator ekonomi penting apabila mengukuh 5.3% berbanding dolar Amerika Syarikat, malah ringgit juga kukuh berbanding mata wang negara rakan dagangan utama.

Jumlah dagangan luar, kata Anwar, mencatat pertumbuhan 2 digit dan pelaburan langsung asing juga lebih banyak pada 2022.

“Jumlah dagangan berkembang sebanyak 14.8 peratus kepada RM718.7 bilion dengan eksport dan import kasar masing-masing meningkat sebanyak 11.8 peratus dan 18.7 peratus.

“Malaysia merekodkan FDI bersih sebanyak RM19.3 bilion pada suku keempat 2022 berbanding RM12.3 bilion pada suku ketiga 2022,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan KDNK negara berkembang sebanyak 7.0% pada suku keempat 2022, berbanding 14.2% pada suku ketiga 2022, berikutan sokongan daripada langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah yang berkurangan.

BACA JUGA Tahap puas hati rakyat terhadap Anwar 68 peratus