‘Tidak mungkin kekalkan kaedah lama untuk bawa perubahan’ – Anwar
Semua sektor pekerjaan perlu meneroka kaedah baharu jika mahu membawa perubahan kepada syarikat dan pencapaian negara.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan sektor pekerjaan tidak boleh lagi kekal dalam cara kerja dan kaedah yang lama jika menginginkan perubahan.
”Negara kita sekarang ini umpamanya baru mula meneroka kaedah baharu. Kita tidak mungkin mengekalkan kaedah lama untuk membawa perubahan dalam negara.
”Sekiranya kaedah lama diamalkan, perubahan tidak mungkin akan dapat dicapai. Gempa bumi besar melibatkan Turki dan Syria, konflik Ukraine dan Rusia semua itu ada tempias kepada negara kita ini, lebih-lebih lagi dengan kesan Covid-19.
”Jika kita terima semua itu sebagai kenyataan, dan kita sebut tentang ‘postnormal times’, tetapi kaedah kerja kita sama sahaja seperti 10 atau 20 tahun yang lalu, tidak mungkin kita akan capai sebarang pembaharuan dan perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Dalam majlis berkenaan juga Anwar mengingatkan bahawa Malaysia perlukan perubahan dalam mempercepatkan proses membuka perniagaan baharu.
Tempoh sekarang 6 – 9 bulan katanya terlalu lama dan tidak menarik minat pelabur asing untuk datang melabur. Sekiranya proses dapat dipercepatkan, katanya, dalam tempoh setahun Malaysia akan kembali menjadi negara kompetitif di rantau Asia Tenggara.
Majlis tersebut dirasmikan oleh beliau sendiri sambil disaksikan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud dan Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Subahan Kamal.
BACA JUGA Lebih 5,000 usahawan mikro Negeri Sembilan dapat manfaat TUN, TUNS PLUS