Dilema Muda dalam sistem tua

Malaysia bakal menyaksikan pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Justeru itu parti – parti utama yang membarisi blok kerajaan dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah menubuhkan beberapa jawatankuasa untuk melicinkan lagi gerak kerja.

Malang sekali parti Perikatan Demokratik Bersatu Malaysia yang lebih terkenal menerusi akronim Muda tidak mendapat jemputan.

Pelik juga parti yang hanya mempunyai satu kerusi parlimen dan satu kerusi Dun tidak dijemput. MIC ada satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dun hadir di mesyuarat tersebut.

Wakil Muda ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala Adunnya ialah Amira Aisya Abdul Aziz yang mewakili Dun Puteri Wangsa di Johor.

Dalam konteks PRN di manakah Muda?

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pengasas dan muka yang sinonim dengan Muda

Muda tidak menjadi komponen Pakatan Harapan tetapi hanya menandatangani pakatan pilihan raya dalam PRU15 yang lalu.

Setakat ini Muda aktif di dalam media sosial. Muda lebih dikenali di kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar.

Kerusi campuran di kawasan bandar ialah kubu kuat untuk parti seperti PKR dan DAP. Kekuatan mereka di kawasan bandar langsung tidak tercalar sekalipun berdepan parti komponen BN- MCA dan MIC.

Umno juga lebih selesa bertanding di kawasan kubu kuat mereka iaitu kerusi luar bandar berbanding dengan kerusi bandar.

Jika dilihat dari sudut komposisi kaum, Amanah akan bersaing dengan Umno untuk kerusi majoriti Melayu.

Dalam adunan ini di mana faktor lokasi, kaum dan kumpulan umur menjadi penentu, di manakah Muda?

Ini sistem tua di mana semua faktor yang tersenarai ada peranan besar untuk menentukan hidup dan mati politikus dan parti siasah.

Di dalam PRN Johor, Muda bertelagah dengan PKR demi satu kerusi tetapi itu dalam keadaan Pakatan Harapan adalah blok pembangkang. Begitu juga dengan Muda.

Kali ini, Pakatan Harapan ialah kerajaan dan tidak boleh dipandang enteng lagi.

Pendekatan gung-ho yang diguna sebelum ini pastinya tidak berkesan lagi.

Dalam keadaan komponen BN yang menghadiri mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan sendiri belum tentu memperoleh kerusi untuk bertanding, pastinya amat sukar untuk Muda meningkatkan bilangan kerusi DUN.

Tambahan pula, kedua-dua wakil rakyatnya di negeri Johor, bukannya di negeri yang akan menyaksikan pilihan raya negeri.

Dalam waktu terdekat, apakah gerak kerja Muda di kawasan? Muda juga perlu mengambil kira faktor bahawa ia besar kemungkinan diberikan kerusi luar bandar di mana media sosial bukan faktor yang mempengaruhi pengundi.

Yang pasti, ahli Muda mempunyai keinginan untuk membuat perubahan. Cuma ia belum diterjemah ke lapangan dengan gerak kerja di peringkat akar umbi.

BACA JUGA: Pergolakan Umno dan kesannya