Belanja mewah: Pemimpin Bersatu diingat jangan bermuka-muka – Fahmi

Pemimpin dan ahli Bersatu diingatkan agar tidak bersikap bermuka-muka berhubung siasatan terhadap perbelanjaaan ‘mewah’ parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil berkata sesiapa sahaja bebas untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka mengesyaki mana-mana parti politik terbabit dalam penyelewengan.

“Mungkin ini peringatan kepada mereka (ahli Bersatu) bahawa mereka perlu mengingatkan kepada presiden parti mereka apa itu adil…jika adil pada masa dulu, perlu juga dianggap adil sekarang,” katanya selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina kawasan Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur pada Ahad, lapor Bernama.

Fahmi bersama penduduk berbilang kaum menggaul yee sang dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur pada 12 Februari 2023. Foto FB Fahmi Fadzil
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian sebagai mengulas laporan polis dibuat Ketua Bahagian Bersatu Puchong Mohd Shukor Mustaffa yang mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) telah berbelanja ‘mewah’ semasa kempen PRU15.

Dalam perkembangan lain, Fahmi menafikan terdapat perbincangan dengan Pejuang berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Fokus PH buat waktu ini untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, di situ kita lihat ada beberapa prinsip dan perkara yang menjadi keutamaan.

“PH pada waktu ini setahu saya belum ada apa-apa perbincangan tentang ini (dengan Pejuang), isu pergolakan mana-mana parti adalah isu dalaman parti tersebut, kita tidak mahu masuk campur,” katanya.

Bulan lepas, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kerjasama politik dengan PH atau Perikatan Nasional (PN) antara perkara yang dibincangkan semasa Perhimpunan Agung parti itu.

BACA JUGA: Azmin atau Khairy, Bersatu Pas kini berebut siapa patut kuasai Selangor